Bawa Kenderan Tanpa Lesen, Lelaki Myanmar Ini Hulur Duit RM50, Ini Tindakan Polis Yang Mengejutkannya

KUALA KANGSAR – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada anggota polis trafik di Jalan Daeng Selili di sini semalam.

Lelaki tersebut ditahan ketika anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar menjalankan Op Penguatkuasaan Lalu Lintas pada jam 11.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC ditahan untuk pemeriksaan.

“Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu dan dia cuba memberi suapan kepada polis dengan mengeluarkan wang tunai berjumlah RM50 dari genggaman tangan kanan.

“Suspek bertindak demikian supaya anggota bertugas tidak mengeluarkan saman terhadapnya,” katanya.

Menurutnya, suspek tetap memaksa anggota polis menerima wang tersebut dengan tidak mengendahkan amaran yang diberikan.

“Anggota memberi amaran beberapa kali tetapi suspek tetap memaksa anggota polis berkenaan menerima wang tersebut dan tangkapan dibuat selepas dia tidak mengendahkan amaran diberikan

“Suspek diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak untuk tindakan lanjut,” katanya. – Sinar Harian