Bekas Tentera Masuk Dalam Perangkap, Cubaan Curi Kerbau Gagal

LENGGONG – Niat jahat seorang bekas tentera yang ingin mencuri seekor kerbau gagal apabila perbuatannya disedari pemilik haiwan ternakan itu dalam kejadian di Kampung Bukit Sapi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pemilik haiwan berusia 56 tahun itu berjaya menggagalkan cubaan curi itu selepas dia ternampak seorang lelaki memberhentikan kereta jenis Proton Wira berhampiran sekumpulan kerbaunya pada pukul 3.45 pagi.

“Pemilik haiwan itu bersama rakannya hanya memerhati tindakan suspek lelaki itu sebelum mereka menyedari seekor daripada kerbaunya tumbang disyaki ditembak ubat pelali.

“Selepas menyedari perbuatannya diperhatikan, suspek kemudiannya melarikan diri manakala pemilik kerbau pula mengekori suspek yang menghala ke arah Selat Pagar itu sebelum mereka menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Ismail, polis berjaya menahan suspek berusia 34 tahun dan berasal dari Baling, Kedah itu yang berhenti di kawasan berhampiran Hentian Rehat Selat Pagar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan curi,” katanya.  – K! ONLINE

 

Artikel Berkaitan   Saintis Temui Perahu Purba Tertua Asia Tenggara Di Pahang. Bukan Calang Calang…