Bela Nasib Bekas Isteri, Ramai Puji Cadangan Firdaus Wong Dan Mahu Ia Dipercepatkan

KUALA LUMPUR, 3 Julai ― Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) atau Mualaf Berbilang Bangsa Firdaus Wong Wai Hung menegur sikap segelintir lelaki yang gagal melunaskan nafkah selepas menjalani proses penceraian.

Jelasnya, tindakan itu adalah suatu yang tidak bertanggungjawab malah turut menzalimi hak wanita dan anak-anak.

“Kerap sangat mendengar lelaki tidak bayar nafkah anak-anak tetapi mampu melancong dan berkahwin sana sini. Bekas isteri dizalimi lelaki dayus. Hak anak terabai.

“Adil? Ya Islam menegakkan keadilan. Wanita untuk dilindungi, dibimbing dan dipimpin. Lelaki mesti cukup ‘jantan’ untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat peningkatan kes kegagalan memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberitahu terdapat lebih lima aduan sebulan berhubung kegagalan lelaki melunaskan nafkah.

Terdahulu, Firdaus turut mencadangkan agar pihak mahkamah mengarahkan pemotongan wang secara automatik dari akaun bank lelaki bagi tujuan membayar nafkah.

Kaedah itu diharap secara tidak langsung mengelak daripada lelaki culas membayar nafkah sekaligus memberi jaminan hak kepada wanita.

“Diharapkan mahkamah syariah diberikan kuasa untuk memerintahkan potongan terus dari akaun bank bekas suami bagi memastikan bekas isteri mendapat nafkah yang telah ditentukan mahkamah,” katanya lagi.

kredit projekmm