Benarkah Jus Daun Betik Mampu Merawat Penyakit Demam Denggi?

Kuala Lumpur: Daun betik bukan penawar demam denggi, malah boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang sekali gus membawa maut kepada yang mengamalkan pemakanan daun itu.


Ahli Farmasi dan Homeopati Prof Dr A Krishnan berkata, kebanyakan pesakit demam denggi di negara ini diberikan daun betik kononnya boleh mengubati penyakit terbabit dengan lebih cepat dan berkesan.

Hakikatnya, mereka tidak mengetahui bah4wa daun betik tiada khasiat, malah boleh menyebabkan pesakit menghidap pelbagai penyakit lain seterusnya berisiko maut.

“Saya sudah membuat kajian mengenai penggunaan daun betik sebagai penawar demam denggi dan hasilnya tumbuhan itu tidak membantu, malah berbahaya kepada kesihatan kerana kandungannya mempunyai ‘cyanide’ yang berperanan seperti racun.

“Oleh itu, penggunaan daun betik perlu dihentikan serta-merta kerana menjadikan pesakit demam denggi bertambah teruk, malah sistem imunisasi turut terganggu,” katanya ketika ditemui dalam sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai perlu menitik berat mengenai pengambilan makanan yang berkhasiat dan memenuhi nutrisi badan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil sebarang makanan yang boleh memudaratkan kesihatan walaupun ia adalah daripada turun temurun kerana kesannya boleh dilihat dalam jangka panjang apabila seseorang sentiasa sakit dan menghidap penyakit kronik,” katanya – Harian Metro

Kuala Lumpur: Minum jus betik, hirup sup ketam dan mengambil minuman isotonik adalah mitos semata-mata malah tidak membantu mengubati demam denggi.

Pegawai Perubatan Kanan Perubatan Am Hospital Seri Manjung Dr Hafizah Mohamed Haniba berkata, setakat ini tiada kajian saintifik yang membuktikan demam denggi mampu disembuhkan menerusi tiga amalan itu.

Beliau berkata, salah faham itu disebabkan maklumat yang disampaikan adalah dari mulut ke mulut sejak dulu sehingga dianggap berkesan dalam merawat penyakit berkenaan.

Katanya, daripada sudut perawatan moden, belum ada kaedah dan rawatan khusus untuk penyakit itu.

“Apa saja yang berkaitan dengan herba tradisional dan sup ketam adalah lebih kepada petua orang lama dan boleh dikategorikan sebagai rawatan sampingan, bukan rawatan sebenar.

“Sebenarnya, perlu ada kajian menyeluruh y4ng membabitkan sejumlah pesakit untuk memastikan kesahihan sesuatu herba dalam rawatan penyakit denggi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Ahli Farmasi dan Homeopati Prof Dr A Krishnan berkata, daun betik bukan penawar demam denggi malah boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang sekali gus membawa maut kepada individu yang mengamalkan pemakanan daun itu.

Dr Krishnan mendakwa, daun betik tidak mempunyai khasiat selain berbahaya kepada kesihatan kerana kandungannya mempunyai ‘cyanide’ yang berperanan seperti racun.

Selain itu, Dr Krishnan juga mendakwa, sistem imunisasi individu boleh terganggu sekiranya ia diamalkan.

Dr Hafizah berkata, bagi memastikan penyakit dapat diubati dengan cepat dan berkesan, pesakit sepatutnya minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter atau lapan gelas sehari.

Menurutnya, kebiasaannya pesakit denggi kurang selera makan dan mengalami perubahan pada salur darah sekali gus menyebabkan badan kekurangan air.

“Cukup sekadar air kosong saja untuk dijadikan alternatif rawatan penyakit denggi tidak berdarah, bukan air isotonik kerana kandungan paras gulanya yang tinggi.

“Bayangkan jika pesakit itu menghidap diabetes, pasti ia memberi kesan terhadap paras gula dalam badan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Hafizah berkata, persepsi masyarakat terhadap amalan itu perlu diperbetulkan, selain menasihatkan individu yang disyaki menghidap denggi supaya mendapatkan rawatan di hospital terlebih dulu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daun betik bukan penawar atau boleh mengubati denggi.

“Kajian yang dijalankan hanya menunjukkan ia (daun betik) membantu meningkatkan sel platelet,” katanya – Harian Metro