Berang Kerana Kerap Diganggu, Ular Ini Gigit Kepala Lelaki Ini Masa Buat Live

LONDON – Satu rakaman video mendebarkan menunjukkan detik-detik kepala seorang lelaki digigit seekor ular tidak berbisa selepas mangsa berulang kali mengusik reptilia berkenaan, lapor akhbar The Daily Star.


Rakaman yang tidak mendedahkan lokasi dan tarikh kejadian itu bermula dengan seorang lelaki memegang seekor ular sambil berulang kali meniup ke arah muka reptilia berkenaan.

SOROTAN video menunjukkan seorang lelaki mengangkat seekor ular dekat dengan dirinya. – FACEBOOK

Lelaki itu masih meneruskan usikan ke atas ular berkenaan walaupun ia kelihatan semakin resah dengan perbuatan mangsa hingga mengeluarkan bunyi berdesir.

Mangsa turut menghayun kepalanya menghampiri reptilia itu beberapa kali sebelum memilih untuk meletakkan ular berkenaan di atas kepalanya.

Tindakan itu menyebabkan ular berkenaan terus menggigit kepalanya dan mangsa bergelut untuk melepaskan cengkaman gigi reptilia itu.

“Padan muka,” tulis seorang pengguna Facebook yang menonton video dipaparkan halaman Reptile Hunter itu. Rakaman tersebut telah ditonton lebih 111,000 kali dalam tempoh beberapa jam selepas dikongsi di Facebook pagi kelmarin.

Lelaki itu kemudiannya hilang daripada rakaman kamera ketika masih bergelut untuk menyelamatkan diri. Tiada maklumat sama ada dia berjaya melepaskan cengkaman gigi reptilia itu.

Ular itu dipercayai jenis tidak berbisa. 
– Agensi