Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itu prinsip yang dipegang pengusaha tanaman terung, Ismail Ahmad, 49.
Siapa sangka kegigihannya mengusahakan t4naman tersebut menggunakan kaedah fertigasi di atas tanah seluas 0.6 hektar membolehkan Ismail meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
Menurut Ismail, kaedah tanaman fertigasi bukan sahaja menjimatkan tenaga malah pokok yang ditanam lebih mudah dijaga dan tidak perlu terlalu banyak menggunakan air.
Katanya, setiap pokok yang matang boleh diambil hasilnya selepas 60 hari daripada tarikh mula ditanam.
Setiap pokok terung boleh mengeluarkan buah antara tujuh hingga lapan kilogram setiap kali dituai dan daripada 1,800 pokok yang ditanam, sebanyak 14 tan buah berjaya diperoleh dalam tempoh tiga bulan.
Pulangannya pula bergantung kepada harga pasaran setelah ditolak kos penyelenggaraan termasuk gaji pekerja mampu memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Ismail, tanaman terung tidak terlalu menguntungkan kerana harganya yang terlalu murah selain menghadapi masalah utama untuk memasarkannya.
Katanya, ini berbeza berbanding tanaman cili merah yang harganya lebih tinggi iaitu boleh mencecah RM7 hingga RM10 sekilogram walaupun penjagaannya lebih rumit berbanding tanaman terung.
Tambahnya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga diharap dapat membantu dalam memasarkan hasil tanamannya ke pasaran luar seperti Alor Setar, Sungai Petani, Taiping dan Ipoh yang dijangka mampu menawarkan kadar harga yang lebih baik.
Bagi tanaman terung, saya menghadapi masalah untuk menjual kerana buat masa ini hanya di Gerik tempat jualan secara borong. Bagaimanapun tidak banyak yang diambil oleh peraih iaitu antara kadar RM1.50 hingga RM3.50 sekilogram sahaja.
Oleh itu, saya menjalankan projek tanaman silih berganti daripada terung kepada cili dan sebagainya. Ini kerana bercucuk tanam merupakan sumber utama pendapatan saya sekeluarga dan kami tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada sesiapa.
Bagi saya, tanah sekangkang kera sekalipun jika ringan tulang dan rajin berusaha dengan bercucuk tanam mampu membantu meringankan beban perbelanjaan dapur,” ujarnya yang merupakan generasi kedua dari Felda Lepang Nenering.
Sumber: Utusan Online