Bercinta Dalam Talian, Remaja 14 Tahun Terpaksa Menanggung Kerugian RM295,950

REMAJA lelaki berusia 14 tahun terpaksa menanggung kerugian RM295,950 selepas diperdaya sindiket Love Scam. Kejadian bermula Februari lalu apabila remaja berkenaan berkenalan dengan gadis melalui Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, perkenalan antara mangsa dan suspek awalnya bermula dengan satu iklan penjualan telefon di Facebook dipercayai milik gadis yang menggunakan nama Dea Anis atau Anis Anis.

“Remaja itu tertarik dengan telefon yang diiklankan lalu menghubungi gadis berkenaan melalui nombor telefon yang disertakan pada iklan berkenaan.

“Bermula dari situ, terjalin hubungan antara mereka dan mangsa sering menghubungi gadis tersebut untuk berbual melalui WhatsApp dan bermain permainan video dalam talian PUBG mobile,” katanya dalam kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, selepas kira-kira empat bulan berkenalan, gadis itu meminta bantuan mangsa untuk meminjam wang dan permintaan itu dipenuhi.

“Dalam tempoh 2 Mei hingga 20 Jun lalu, mangsa meminjamkan wang kepada gadis itu melalui 21 transaksi pindahan wang ke dua akaun bank yang diberikan namun atas nama individu lain.

“Suspek berjanji akan membayar hutangnya itu namun hingga kini dia gagal berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, selepas mengetahui penipuan itu, bapa mangsa berusia 53 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Brinchang, Cameron Highlands semalam.

“Polis kini sedang mengesan seorang lelaki pemilik nombor akaun yang digunakan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, mangsa terpaksa mengguna wang simpanannya dan meminjam wang daripada ahli keluarganya untuk memberi kepada suspek.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Lelaki Ini Viral Kerana Menjadi Kurus Hanya Dengan Makan Rot Jenama Ini, Tak Payah Skip Nasi