Bermula 23 Januari tahun hadapan, peluang untuk rakyat Malaysia memohon Visa Bekerja Sambil Melancong New Zealand (New Zealand’s Malaysia Working Holiday Visa) akan dibuka secara rasmi tepat pada jam lima pagi waktu Malaysia.
Menurut laporan The Vocket, visa bekerja sambil melancong yang dikeluarkan setahun sekali ini dikhabarkan semakin mendapat tempat di hati rakyat khususnya golongan muda yang ingin meraih pengalaman bekerja di luar negara.
Visa ini terhad kepada 1,150 pemohon dan membolehkan rakyat Malaysia yang layak untuk bekerja, belajar mahupun mengikuti latihan di negara berkenaan selama enam bulan.
Berikut merupakan antara ketetapan dan syarat yang diperuntukkan untuk memohon visa ini:
Warganegara Malaysia
Menyediakan bukti pengenalan diri yang sah
Kesihatan berada di tahap yang baik
Memiliki personaliti yang baik
Berumur di antara 18 hingga 30 tahun
Perlu mempunyai sekurang-kurangnya NZ2,250 (RM6,170) semasa berada di New Zealand
Dilarang menerima sebarang pekerjaan tetap sementara berada di New Zealand
Hanya melakukan kerja yang sah di sisi undang-undang
Pemegang visa tidak boleh membawa kanak-kanak
Visa yang berlainan perlu disediakan bagi pasangan pemegang visa
Perlu datang ke New Zealand dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kelulusan permohonan visa
Perlu meninggalkan New Zealand sebelum tempoh visa tamat
Berdasarkan laporan SAYS, permohonan visa ini hanya boleh dilakukan secara atas talian dan hanya menelan kos sebanyak RM570. Sebaik sahaja permohonan dihantar, ianya hanya akan mengambil masa selama 21 hari untuk diproses.
Sumber: SAYS, The Vocket