Berminat Nak Tanam Timun Secara Komersial? Baca Dulu Kisah Lelaki Ini…

Jual timun serendah 20 sen sekilogram

KUANTAN: Kejatuhan harga sayur-sayuran mencecah serendah 20 sen sekilogram (kg) bukan penghalang bagi seorang pekebun muda meneruskan projek pertanian secara komersial di kawasan seluas 2.4 hektar.

Hanis Hamizam Abd Mubin, 26, yang mengusahakan tanaman timun, terung, petola dan peria, reda kerana sebagai pekebun, untung dan rugi boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Malah, katanya, beli4u yang menggunakan kaedah fertigasi terpaksa menanggung kerugian lebih RM35,000, awal tahun ini berikutan kejatuhan harga sayur, selain serangan penyakit pokok.

Beliau berkata, harga semasa sayuran sukar dijangka dan sebagai contoh, harga timun pernah jatuh sehingga serendah 40 sen bagi gred A, awal tahun ini.

“Modal semusim projek tanaman sayur ialah RM10,000, membabitkan upah pekerja, racun dan baja bagi keluasan 1.2 hektar. Keuntungan boleh mencapai dua hingga empat kali ganda jika harga tinggi.

“Walaupun pasaran sayur-sayuran sentiasa menggalakkan, harga yang rendah menyebabkan ramai pekebun `gulung tikar’ kerana tidak mampu menanggung kerugian,” katanya, di sini, hari ini.

Hanis Hamizam yang ber4sal dari Peramu, Pekan, mengusahakan projek tanaman sayur menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kompleks Pertanian Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura, di sini dan Peramu.

Beliau yang memiliki Diploma Pengurusan Projek, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, kejatuhan harga sayur-sayuran banyak dipengaruhi sikap tamak `orang tengah’ atau pemborong yang inginkan keuntungan lebih.

Katanya, pemborong sesuka hati menentukan harga semasa sayur-sayuran hingga menyebabkan pekebun menanggung kerugian, pengeluar tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya menerima senarai harga ditetapkan.

“Sebagai contoh di peringkat ladang, pemborong membeli timun dan peria dengan harga antara 20 sen hingga 40 sen sekilogram namun apabila sampai kepada pengguna, harganya meningkat tiga hingga lima kali ganda.

Artikel Berkaitan   Berbuah Seawal 3 Tahun, Boleh Tanam Dalam Pasu, ASFA50 Hasil Kacukan Durian Tembaga, Musang King, Duri Hitam & Udang Merah?

“Pemborong yang hanya mengeluarkan sedikit modal mengaut keuntungan berlipat ganda, sedangkan pekebun meraih pendapatan tidak seberapa,” katanya.

Katanya, purata semusim beliau mampu menghasilkan lebih 50 tan timun dan terung mini yang dijual dengan harga RM2.20 sekilogram.

“Dalam setahun, saya mengusahakan lima hingga enam pusingan tanaman dan pengalaman selama empat tahun sebagai pekebun sayur memberi kelebihan kepada saya untuk berdepan cabaran,” katanya.

Sumber: Berita Harian