Betty Banafe Akur Bergelar Janda, Inilah Yang Sebenarnya Yang Telah Berlaku Dalam Rumahtangganya

Tiada persefahaman, hanya ungkapan klise itu sahaja yang mampu diucapkan oleh pelakon, Betty Banafe, 40, saat kisah keruntuhan rumah tangganya tersebar baru-baru ini.

Tujuh tahun bersama, jodoh tidak menyebelahi Betty dan suami, Bruce Dargus apabila ikatan pernikahan terlerai di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, Johor pada 10 Julai lalu.

Akur dengan percaturan takdir, pelakon yang popular dengan drama Spa Q itu tenang dalam menempuhi dugaan perceraian, malah mendoakan agar bekas suaminya bertemu kebahagiaan dengan insan yang lebih baik berbanding dirinya selepas ini.

Bagi Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, dia tidak dapat mengetepikan rasa trauma dengan apa yang berlaku. Sebaliknya, beliau menganggap perkahwinan sebagai tempoh masa yang mengubah dirinya menjadi individu yang lebih baik.

KOSMO!: Sudah berapa lamakah krisis dalam rumah tangga Betty berlaku?

BETTY: Sudah agak lama, cuma saya bukan seorang yang suka bercerita dalam media sosial kerana menghormati privasi suami. Kami sudah lebih setahun tinggal berasingan setelah pelbagai usaha menyelamatkan rumah tangga tidak berjaya. Pada 10 Julai lalu, saya dan bekas suami mengambil keputusan untuk berhenti hidup dalam penafian kerana hubungan kami sudah semakin kritikal. Akhirnya, keputusan bercerai adalah jalan terbaik.

Bagaimanakah anak-anak menerima perceraian kalian?

Anak saya yang sulung, Julia Claire Dargus, 6, mungkin lebih memahami apa yang sedang berlaku berbanding adiknya, Bruce Dean Dargus, 4. Sejak saya dan Bruce tinggal berasingan, mereka sudah dibiasakan untuk pulang ke dua rumah yang berbeza. Kami sedaya upaya mahu mengelakkan mereka daripada terkesan atau dipengaruhi aura negatif tentang apa yang berlaku antara saya dan bekas suami.

Artikel Berkaitan   Alor Setar Dilanda Fenomena Bunga Sakura. Netizen Kata Tak Payah Dah Pergi Jepun Kat Malaysia Dah Ada

Apakah yang anda pelajari daripada perpisahan tersebut?

Saya baru bergelar janda sekitar lebih seminggu, jadi saya tidak boleh jawab soalan tersebut. Namun, saya pasti sesiapa yang pernah mengalami pengalaman serupa, mereka akan menjadi individu yang lebih baik dan mengumpul banyak pengalaman untuk masa hadapan. Apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan kita pasti bersebab, itu sahaja.

Adakah anda trauma untuk berkahwin lagi?

Tidak, saya tidak percaya perkara-perkara trauma seperti itu kerana reda dengan ujian Allah. Lagipun Bruce seorang bapa yang baik dan penyayang buat anak-anak, itu sudah cukup buat saya. Saya yakin, setiap dugaan yang Allah beri adalah untuk dekatkan hamba dengan-Nya. Mungkin perceraian ini kelihatan buruk sekarang, tetapi kita tidak tahu hikmah yang Allah simpan.

Maksudnya, anda tidak menolak kemungkinan kembali rujuk dengan bekas suami?

Buat masa sekarang, saya berharap dia bertemu kebahagiaan dengan orang yang lebih baik berbanding saya. Jika kami masih ada jodoh pada masa hadapan, biarlah masa dan takdir yang menentukan.

Apakah perancangan anda selepas bergelar ibu tunggal?

Sekarang saya sedang fokus dengan perniagaan yang sedang diusahakan. Alhamdulillah, menguruskan perniagaan sedikit sebanyak membantu mengalihkan rasa sedih tentang perceraian kerana sibuk bekerja. Andai ada tawaran dalam lakonan atau nyanyian, saya akan pertimbangkan mengikut kesesuaian.