“Biasa Customer Order Makanan Untuk Dia Makan, Tapi Yang Ni Lain. Dia Order Untuk Aku Makan. Thank You Sis”

“SALAM, dah (sudah) makan tengah hari ke? Makan dulu, isi perut barulah jalan sambung kerja. Jangan hantar (makanan) pada saya ye. Selamat tengah hari.”


Itu antara mesej diterima Huzaifah Aminuddin, 23, apabila pelanggan yang sepatutnya menerima tempahan makanan, ‘menghadiahkan’ kepadanya sebagai hidangan tengah hari, baru-baru ini.

Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan sebelum itu mengambil tempahan berkenaan daripada sebuah restoran makanan segera untuk dihantar kepada pelanggan wanita terbabit yang tinggal di Gombak.

Sebaik tiba di pekarangan rumah wanita berkenaan, dia menerima panggilan telefon yang memintanya supaya menikmati hidangan tengah hari itu.

“Terharu saya apabila jumpa pelanggan seperti ini. Dia hantar mesej semasa tempah (makanan), dan saya sempat membaca separuh mesej itu.

“Saya tidak fikir apa-apa dan hanya mahu hantar (kepadanya) tepat pada waktunya. Dia beritahu jangan hantar makanan itu kepadanya, sebaliknya meminta saya makan.

“Saya ucap terima kasih kepada pelanggan itu kerana sedekah pada saya,” katanya yang melakukan kerja penghantaran makanan separuh masa.

Huzaifah berkata, bukan senang untuk mendapat pelanggan prihatin seperti wanita itu dan dia bersyukur kerana rezeki tidak diduga yang diterimanya.

“Doa saya, mudah-mudahan pelanggan itu dimurahkan rezeki. Ini pertama kali pelanggan sedekah makanan ditempah kepada saya,” katanya.

Huzaifah turut berkongsi kisah itu dalam Twitter miliknya yang mendapat lebih 18,100 ulang ciap dan 24,000 tanda suka.

Ciapnya “Biasa customer order (pelanggan tempah) makanan untuk dia makan, tapi yang ni (ini) lain sikit. Dia order (tempah) untuk aku makan. Thank you sis (terima kasih).”

Beberapa warganet memberi reaksi antaranya, @erulnyyzam Cara sedekah yang kita tak pernah terfikir.

@Woeisayom, banyak kali jumpa customer (pelanggan) macam ni. Terbaik, hari ini kau bagi orang makan. Esok lusa mana tahu rezeki engkau pula. Semoga dilimpahkan rezeki yang luas.