“Bila Kakak Keluar Bilik, Emak Berlumuran Darah, Ayah Melarikan Diri Dengan Menunggang Motosikal,”

“HUBUNGAN ayah tiri dengan emak baik-baik sahaja sebelum ini dan saya tidak pasti punca dia sanggup menetak muka emak hingga parah.”

Begitu kata anak bongsu kepada seorang wanita berusia 57 tahun yang parah di kiri muka dari dahi hingga bawah mulut akibat ditetak suaminya.

Kejadian dipercayai berlaku di rumah mereka di Bandar Salak Tinggi, Sepang Khamis lalu dan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Remaja lelaki berusia 19 tahun itu berkata, ibunya tidur bersama kakak sebelum dipanggil oleh lelaki berusia 60-an terbabit.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, emak keluar dan tiba-tiba sahaja, kakak mendengar suara orang menjerit.

“Apabila kakak keluar bilik, emak berlumuran darah manakala ayah (tiri) melarikan diri dengan menunggang motosikal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, susulan kejadian itu, ibunya dimasukkan ke Hospital Putrajaya dan keadaannya belum stabil.

Katanya, doktor turut memberitahu ibunya mungkin dirawat dalam tempoh lama berikutan kecederaan parah yang dialami.

“Emak parah di muka sebelah kiri bermula di bahagian dahi hingga bawah mulut.

“Kami sekeluarga menunggu keadaan emak benar-benar sedar untuk mengetahui punca kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Kelmarin, tular di media sosial mengenai kes tetak membabitkan suami isteri di Bandar Salak Tinggi, Sepang hingga mengkibatkan mangsa parah di muka.

(Visited 1,955 times, 1 visits today)