“Bila Tukang Cuci Itu Guna Dawai Untuk Menarik Keluar Punca Tersumbat, Kelihatan Uri Dan Tali Pusat Bayi”

Seorang tukang cuci terkejut apabila mendapati mayat bayi lelaki tersangkut dalam mangkuk tandas ketika kejadian di Terminal Sentral Kuantan di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, kejadian itu berlaku di sebuah bilik tandas wanita yang telah ditutup untuk diselenggara kerana mengalami kerosakan sejak 19 September lalu.

“Tempat kejadian di sebuah tandas awam di tingkat satu. Tandas ini telah ditutup pada 19 September untuk tujuan penyelenggaraan.

“Ketika kejadian, seorang wanita yang ingin menggunakan tandas tersebut telah mendapati mangkuk tandas itu tersumbat dan terdapat air berwarna kemerah-merahan.

“Wanita itu memaklumkan kepada tukang cuci. Apabila tukang cuci itu menggunakan dawai untuk menarik keluar punca tersumbat, kelihatan uri dan tali pusat bayi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar beliau lagi, wanita tukang cuci berkenaan terus memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di terminal bas ekspres tersebut sejurus kejadian.

Ujar beliau lagi, siasatan awal melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita memasuki tandas tersebut dalam keadaan mencurigakan pada pukul 5.58 pagi tadi.

“Wanita itu (suspek) memakai baju berwarna hitam ketika dilihat masuk ke tandas tersebut bersama sebuah beg dan keluar pada pukul 6.30 pagi dengan pakaian lain iaitu baju kurung,” tambahnya.

Mayat bayi lelaki berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Gian Arak, 80 Lelaki Mati Minum Alcohol Pembasmi Kuman