Bimbangkan Ibu, Shaheizy Sam Tulis Surat Minta Bantuan Polis Untuk Lindungi Ibunya

KUALA LUMPUR- Pelakon popular, Shaheizy Sam telah membuat satu surat kepada Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah supaya membuat rondaan berkala di kawasan rumah ibunya, Khaty Fauziah di Jalan Pokok Mangga Kampung Padang, Melaka.

Menurut laman Instagram Khaty, aduan tersebut dibuat kerana Sam bimbangkan keadaan ibu dan bapa tirinya yang pernah dihampiri beberapa orang individu yang dipercayai penipu atau ‘scammer’ sejak berpindah ke sana beberapa bulan lalu.

Surat yang ditulis pada 22 Julai itu mendapat maklum balas positif daripada pihak berkuasa yang turut berjanji akan mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak polis Melaka Tengah yang mengambil serius akan surat yang dibuat oleh anak saya, Shaheizy Sam.

“Semoga dengan peningkatan kawalan di kawasan perumahan ini, aktiviti-aktiviti jenayah dapat dikurangkan dan membuat penduduk sekitar berasa lebih selamat,” tulisnya lagi.

Menurut Khaty, selain ‘scammer’, kawasan semak di belakang rumahnya juga dikatakan menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian.

“Sam risau kerana kami hanya tinggal berdua di rumah itu. Namun, dengan pertolongan pihak polis, Insya-Allah keadaan akan jadi lebih selamat,”ujarnya lagi. – K! ONLINE