Idea Bisnes Ternak Keli dalam Kanvas
Ikan keli adalah makanan kegemaran masyarakat Asia, terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Ikan ini berbisa dan mempunyai sengat, dan rupa bentuknya adalah seakan-akan ikan sembilang. Namun, apa yang membezakannya adalah ikan sembilang hanya terdapat di laut dan muara sungai, manakala ikan keli boleh dijumpai di dalam parit, sungai, tali air dan paya. Ikan keli mempunyai misai panjang yang terletak berdekatan hidungnya dan berfungsi sebagai antenna pengesan. Ikan keli juga mempunyai sistem pernafasan tambahan yang menyebabkan ikan keli boleh bernafas di daratan menggunakan oksigen yang sama seperti manusia.
Ikan keli menggunakan sengatnya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sengatnya digunakan sebagai kaki untuk memanjat benteng dan sebagainya. Oleh itu, benteng yang dibina untuk tujuan penternakan perlulah memiliki ciri-ciri yang dikehendaki bagi menghalang ikan keli keluar dari kawasan ternakan.
Ikan keli mempunyai pelbagai warna. Ada yang berwarna hitam, perang gelap dan juga perang terang. Bagi anak ikan yang baru menetas, ianya berukuran lebih kurang 3.4mm manakala ukuran lebar mulutnya adalah 0.28mm. Sirip di dada akan mulai tumbuh apabila usianya mencapai 7 hari sepanjang 7 mm dan sirip di perutnya pula berukuran 14.9 mm. Anak ikan ini akan sempurna rupa bentuknya apabila mencapai usia 22 hari sepanjang 24.4 mm.
Ternakan ikan keli
Ternakan ikan keli kini dilihat begitu popular di Malaysia. Sebut sahaja ikan keli, pasti mudah untuk anda mendapatkannya. Berdasarkan pemerhatian semasa, ternakan ikan keli menjadi pilihan pengusaha kerana modalnya lebih rendah jika dibandingkan dengan ternakan lain seperti ayam dan kambing. Selain mempunyai risiko perniagaan yang rendah, ternakan ikan keli juga memberi keuntungan jangka panjang kerana permintaannya sentiasa ada dan meluas. Pengusaha juga boleh mendapatkan kembali pulangan modal dalam jangka masa yang singkat.
Ikan keli boleh diternak dengan menggunakan pelbagai cara;
Dalam takungan seperti kolam
Tangki/kolam gentian kaca (fibre glass)
Tangki/kolam simen
Tangki/kolam kanvas
Ternakan ikan keli menggunakan sistem kanvas merupakan satu inovasi baru untuk bidang akuakultur dan telah dimulakan sejak 2006. Ianya dijalankan di dalam set ternakan dengan bingkai berukuran 4.5m x 1.2m x 1m dan diliputi dengan kanvas yang berkualiti tinggi dan tahan kepada perubahan cuaca. Benih ikan keli bersaiz 3 inci atau 10gm ke atas dilepaskan dengan kadar pelepasan 129ekor/m2. Harga seunit tangki dianggarkan dalam RM1, 200.00–RM2, 400.00. Set ternakan boleh diperolehi melalui pembekal-pembekal yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan.
Mengapa ternakan ikan keli dalam kanvas menjadi pilihan?
Ikan keli yang diternak menggunakan kaedah kolam kanvas adalah sangat mudah untuk diurus. Ianya ringkas, murah dan juga senang untuk dipasang. Perbandingan yang dilihat daripada semua jenis cara ternakan sama ada kolam tanah, simen, tangki plastik dan sebagainya membuktikan bahawa penggunaan kolam kanvas sangat sesuai untuk ternakan ikan keli.
Ikan keli yang diternak di kolam kanvas menunjukkan tumbesaran yang baik. Hal ini disebabkan oleh kolam kanvas dapat mengawal suhu air berbanding kolam simen. Jumlah air di dalam kolam kanvas juga boleh dikawal dengan stabil. Penggunaan kolam kanvas mungkin dilihat masih baru untuk penternakan ikan keli, namun ianya merupakan alternatif terbaik bagi mereka yang ingin menceburi bidang ternakan ikan keli. Dengan menggunakan kanvas sebagai kolam, anda tidak memerlukan jentera untuk mengorek tanah, batu-bata mahupun simen. Apa yang paling menarik adalah, anda boleh menternak ikan keli di mana sahaja menggunakan kolam kanvas asalkan kawasan tersebut mempunyai sumber air yang mencukupi.
Ancaman kepada ikan keli
Ular dan belut merupakan pemangsa yang sering menyerang ikan keli. Di samping itu juga, ikan keli sering terdedah kepada dua jenis ancaman penyakit iaitu dalaman dan luaran. ‘Endotem’ adalah penyakit yang menyerang organ dalaman ikan seperti jantung, usus, dan hati. ‘Eksotem’ pula adalah penyakit yang sering menyerang bahagian luar tubuh badan ikan seperti sirip. Oleh itu, pengusaha perlu mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelakkan ancaman ini daripada berlaku. Langkah yang boleh diambil adalah;
Kolam perlu dikeringkan dan dikapur bagi membunuh kuman.
Kualiti air di dalam kolam perlu sentiasa dipantau.
Suplemen makanan tambahan yang diberikan kepada ikan perlu mengikut dos yang telah ditetapkan.
Proses pungutan hasil ternakan perlulah dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan daripada berlaku.
Haiwan pemangsa atau haiwan pembawa penyakit perlu dihalang daripada mendekati kawasan ternakan.
Makanan untuk ikan keli
Makanan semulajadi untuk ikan keli boleh diperolehi secara semulajadi ataupun melalui ternakan. Salah satu jenis makanan semulajadi ikan keli adalah kutu air (Daphnia sp). Kutu air boleh diternak di dalam kolam simen (berukuran 1 m x 1 m x 0.25 m) atau di dalam fibre glass.
Pembenihan ikan keli
Ikan keli membiak dengan meletakkan telurnya di dalam sarang. Selain itu ikan keli juga bertelur di bawah kayu atau batu di dalam air. Untuk menjalankan proses pembiakan, para pengusaha boleh menggunakan dua sistem pembenihan iaitu secara pasangan atau secara rawak.
Pembenihan secara pasangan – Sepasang induk yang matang diletakkan di dalam sebuah kolam kecil untuk proses persenyawaan.
Pembenihan secara rawak – Kolam tempat pemeliharaan induk digunakan sebagai tempat persenyawaan. Di dalam kolam pada bahagian tepi diletakkan kotak-kotak sebagai tempat persenyawaan. Induk ikan keli yang matang akan mencari pasangannya sendiri dan akan masuk ke dalam kotak yang dikehendaki. Di sini induk betina akan melepaskan telur dan akan disenyawakan dengan sperma induk jantan – Usahawan.com