Boy Iman Dedahkan Ini Adalah Perceraian Kali Ketiga Setelah 2 Kali Bercerai Dirujuk Semula

PELAKON dan penerbit, Datuk Boy Iman mendedahkan telah bercerai dengan isterinya, Kumala Dewi Anas pada 20 April lalu.

Difahamkan ini merupakan kali ketiga perceraian Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, 39, dan isteri, selepas kali pertama pada 2015 dan kedua pada 2017, namun kembali rujuk atas dasar kasih sayang.

Menurut Boy, perceraian kali ketiga ini bagaimanapun masih dalam proses mahkamah.

Menerusi pendedahan yang dibuat di laman Instagram miliknya dua hari lalu, kata Boy, dia dan isteri mengambil masa untuk menerima hakikat perpisahan mereka.

“Saya dah berpisah dengan isteri pada 20hb April 2018, cuma kami cuba selindungkan perkara ini kepada umum dan pihak mahkamah kerana perlu masa untuk menerima hakikat kepahitan sebuah perpisahan kerana realitinya ia sangat menyedihkan.

“Apatah lagi yamg menjadi mangsa selain hati kami adalah hati anak-anak kami. Lebih-lebih lagi Emmer, nyawa saya, jantung hati saya dan geng saya main PUBG, jalan-jalan dan minum teh tarik,” katanya.

Boy Iman bersama keluarga

Dalam pada itu, Boy merakamkan ucapan terima kasihnya di atas keprihatinan dan perhatian yang diberikan peminat serta para pengikutnya. Malah pelakon yang pernah dikenali menerusi telefilem Blok 404 ini memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buatnya dan keluarga.

“Apa-apa pun terima kasih atas keprihatinan anda dan perhatian yang diberi. Saya mohon doa dari anda untuk kebahagiaan saya, bekas isteri, anak-anak dan kebahagiaan anda jua di dunia dan akhirat.

“Inilah aturan yamg terbaik dari Allah dan jodoh itu kerja Dia. Kita hamba-Nya bukan Tuhan maka redhalah apa yang Allah rencanakan untuk kita.

Mengimbas kembali perkahwinannya, kata Boy, banyak perkara postif dan kebahagian yang dilaluinya bersama bekas isteri yang tidak akan dilupakannya.

“Sepanjang saya berkahwin lebih banyak yang baik, yang positif dan yang bahagia saya lalui.

Saya bersyukur Allah pinjamkan nikmat berkahwin itu.

“Harap anak-anak saya tidak akan menjadi mangsa walaupun kami suami isteri berpisah. Saya berharap anaka-anak saya akan terus menjaga mama dia, menyayangi saya dan hubungan kami tidak berakhir hanya di dunia tetapi berpanjangan sehingga akhirat sebagai anak beranak. Papa sayang anak-anak papa,” luahnya.

Boy dan bekas isteri mendirikan rumah tangga pada November 2011 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Norul Emmer, 6. Sementara menerusi perkahwinan terdahulu bekas isteri, Boy juga mempunyai seorang anak tiri perempuan, Ku Ivy Emmera, 19.

(Visited 285 times, 1 visits today)