Buat Kenyataan Ramai Polis Dan Tentera Tidak Menunaikan Solat, Mufti Perlis Bidas Pengasas Hot Burger Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Tindakan Pengasas Hot Burger Malaysia Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut yang mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menunaikan solat mendapat teguran ramai pihak, hari ini.

Turut tidak ketinggalan memberi pandangan adalah Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin. Jelas Mohd Asri, kenyataan mengatakan majoriti anggota keselamatan tidak menunaikan solat adalah keterlaluan dan bersifat tidak matang.

“Untuk menyatakan kebanyakan anggota polis dan tentera tidak berakhlak, tidak solat, tidak memikirkan soal agama anak isteri dan seumpamanya, itu bagi saya sudah keterlaluan.

“Saya kenal ramai anggota polis dan tentera, akhlak mereka kadang-kadang jauh lebih baik daripada banyak pihak.

“Ramai mereka yang baik amalan agama mereka. Menjaga solat dan zahir pada kehidupan mereka tanda taqwa,” katanya di Instagram, hari ini.

Semalam, Asri Janggut telah mengeluarkan kenyataan bahawa kebanyakan anggota polis dan tentera tidak menunaikan solat. Bagaimanapun, ahli perniagaan itu telah memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan dikeluarkan.

Memetik laporan portal berita Harian Metro, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Terdahulu, Mohd Asri mengingatkan orang ramai agar menghargai pengorbanan pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan negara.

“Perlu kita ingat, atas pengorbanan mereka, kita hidup dengan aman dalam negara kita.

“Kelemahan memang ada di mana-mana pasukan dan agensi, namun keamanan yang kita kecapi jauh lebih baik dibandingkan kebanyakan negara lain.

“Jika kebanyakan mereka itu buruk, sudah pasti tidak ke tahap ini keamanan kita.

“Disebabkan tugasan yang mereka laksanakan itulah membolehkan kita semua ke masjid, sekolah, tempat kerja dan semua kegiatan hidup dengan aman,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan   Kejamnnya! Penduduk Benggang Tanaman Mereka Dirosakkan Lalu Meracun 4 Ekor Gajah Ini

kredit projekmm