Cincin Bentuk Ikan Tersangkut Di Jari Ning Baizura. Beliau Segera Menghubungi Bomba Selepas Dinasihati

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Ning Baizura Sheikh Hamzah berdepan detik-detik cemas apabila sebentuk cincin berbentuk ikan tersekat di jari tengahnya selepas melakukan persembahan pada hari Jumaat.


Ning, 44, menerusi kemas kini Instagramnya memberitahu, dia terpaksa meminta pertolongan anggota bomba Balai Bomba Jalan Pantai di sini bagi memotong cincin tersebut daripada jarinya.

“Kejadian bermula apabila saya memakai cincin itu ke satu persembahan dan tidak berjaya membukanya selama seharian kerana terlalu ketat.

“Apabila sudah mencuba pelbagai cara termasuk menggunakan sabun dan minyak tetap tidak berjaya, saya pergi ke klinik sebelum dinasihatkan oleh doktor pergi berjumpa pihak bomba,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram.

Meskipun perkara tersebut kelihatan kecil, tetapi pelantun lagu Awan Terpilu itu mengakui berasa trauma dengan insiden berkenaan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bomba yang membantunya.

“Terima kasih kepada semua anggota bomba Balai Bomba Jalan Pantai yang membantu menanggalkan cincin ini.

“Anda semua sangat profesional dan saya doakan agar anda sentiasa dipermudahkan urusan membantu masyarakat,” ujarnya lagi. – K! ONLINE