Covid-19: Rakyat AS Panik Hingga Beli Pistol

WASHINGTON – Jumlah jangkitan koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan pembelian panik yang luar biasa.

Pengguna tidak hanya berpusu-pusu mahu mendapatkan bekalan tisu tandas dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) malah permintaan ke atas senjata api juga dilaporkan turut meningkat.

Los Angeles Times melaporkan ada pembeli yang sanggup beratur lama sehingga lima jam semata-mata untuk mendapatkan senjata api.

“Saya mahu membeli pistol. Saya rasa ia digelar Glock, saya juga tidak pasti. Saya mempunyai rumah dan keluarga. Mereka perlukan perlindungan jika keadaan menjadi semakin buruk apabila kehabisan bekalan makanan,” lapor akhbar itu memetik kenyataan salah seorang pembeli yang dikenali sebagai Ray.

Seorang lagi pembeli memberitahu orang ramai mula bergegas mendapatkan senjata api kerana kebanyakannya mula takut dengan impak pandemik tersebut selepas lebih 3,000 kes jangkitan dan 61 kematian dilaporkan di AS.

Difahamkan, pembelian panik kini melanda kebanyakan bandar di AS berikutan pentadbiran Presiden Donald Trump gagal memberikan arahan jelas tentang ancaman virus itu.

Akhir minggu lalu, Trump mengisytiharkan darurat yang turut melarang penerbangan dari United Kingdom (UK) dan Ireland. – Agensi

sumber : SinarHarian

Artikel Berkaitan   “Mempersenda Presiden PAS Kerana Tidak Dipilih Dalam Jemaah Kabinet Adalah Satu Dosa”- Mufti Perlis