“Dia Keluar Pakai Tuala, Saya Nampak Dia Cemas, Saya Hampir Tidak Kenal Mayatnya, Tapi Gelang Getah Beri Petunjuk”

PASIR SALAK – Gelang getah di tangan menjadi petunjuk identiti mayat seorang lelaki yang ditemui lemas di Sungai Perak berhampiran Kampung Pasir Salak, Kampung Gajah di sini hari ini.

Mangsa, Mohamad Khairi Salleh, 33, dikenal pasti oleh ibunya melalui satu gelang getah yang dipakai selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu.

Mayat ditemui kira-kira jam 9 pagi tadi dalam keadaan tertiarap di sungai itu kira-kira 8 kilometer dari kediaman mangsa.

Ketua Polis Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mangsa dikatakan keluar dari rumah melalui pintu belakang dengan hanya memakai tuala sekitar jam 7.30 malam, Khamis lepas dan tidak pulang pada sebelah malamnya.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa dilakukan pada keesokannya namun tidak menemui sebarang petunjuk.

Mayat mangsa dibawa keluar dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar sebelum diserahkan kepada polis.

“Pada pagi ini mangsa ditemui mati lemas dalam sungai. Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan luka akibat perbuatan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, menurut maklumat diberikan ibunya, mangsa menghidap sakit mental dan sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Katanya, pada hari kejadian mangsa yang bekerja sebagai buruh menerima suntikan rawatan mental.

“Pada sebelah petang hari yang sama, mangsa pulang ke rumah dan dilihat berada dalam keadaan gelisah serta berpeluh. Selepas mandi mangsa didapati keluar dan tidak pulang ke rumah,” katanya.

Barudin berkata, hasil bedah mendapati kematian mangsa akibat lemas.

Artikel Berkaitan   “Kau Ni Memang Nak Kena Santau Dengan Aku” Lelaki Berang Ugut Anggota Polis Disebabkan Saman