“Dia Mengalami Sawan Kerana Otaknya Tiada Oksigen. Paru-Paru Dah Berkuman, Buah Pinggang Juga Dah Rosak,” Yazid Search Kritikal

“KEADAAN abang (suami) kali ini kritikal. Doktor kata otaknya tak berfungsi lagi dan dia dah nampak kena sawan.

“Kalau tengok tubuhnya, nampak pergerakan secara mengejut,” demikian kata Ramlah Mat, 59, mengulas perkembangan terkini suaminya, Yazit Ahmad, 57, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, doktor kini sedang berusaha memberikan rawatan terbaik kepada suaminya, namun memintanya berserah kepada ketentuan Tuhan.

“Tengoklah sekiranya jantung abang berhenti mengejut, mereka tak boleh buat apa-apa dan minta kami reda.

“Abang kini terpaksa menggunakan alat bantuan sokongan hayat,” katanya kepada Harian Metro.

Bekas pemain dram kumpulan Search itu dimasukkan ke HKL kira-kira jam 3 pagi tadi oleh anaknya.

Terdahulu, Yazit pernah dimasukkan ke hospital sama pada 3 September lalu akibat masalah pernafasan tetapi dibenarkan keluar dua hari selepas itu.

Bercerita lanjut, Ramlah berkata, pagi semalam, suaminya mengadu sesak nafas dan dia mengurut badan suaminya.

“Keadaannya waktu itu sangat lemah. Apabila mulutnya berbuih, saya panik dan segera panggil anak minta hantar abang ke hospital.

“Mereka bergegas bawa dia ke unit kecemasan HKL dan setibanya di sana, jantung abang terhenti membuatkan anak menjerit minta bantuan kakitangan perubatan yang berada di situ.

“Mereka bergegas buat bantuan pernafasan (CPR) dan keadaannya agak okey,” katanya.

Yazit seterusnya dimasukkan ke Zon Merah dan terus dirawat dengan rapi.

“Abang ditidurkan dan keadaannya kekal sampai sekarang. Jam 5 petang tadi, doktor panggil saya serta anak dan beritahu keadaan abang hanya 80:20.

“Dia mengalami sawan kerana otaknya tiada oksigen. Paru-paru dah berkuman manakala buah pinggang juga dah rosak,” katanya.

Artikel Berkaitan   Jangan Ambil Mudah Bila Jari Jadi Biru, Ini Perkara Penting Yang Anda Perlu Tahu

Ramlah berkata, suaminya mengalami kesan akibat rawatan CPR yang dilakukan.

“Ia disebabkan faktor umur abang. Lagipun tulangnya juga dah reput kerana rawatan dialisis yang dibuat.

“Saya dah maklumkan situasi abang kepada ahli keluarganya dan mereka sudah bergerak dari Johor untuk melawatnya. Manakala saudara mara di sekitar Kuala Lumpur sudah datang melawat,” katanya.