“Dia Pernah Murung Sebab Kena Ejek Berkulit Gelap, Anak Saya Pernah Ditampar,Ia Bukanlah Sesuatu Yang Mudah”

DIEJEK, dilemparkan kata-kata kurang manis, disisih hingga dibuli antara yang terpaksa dilalui anak Melayu kulit hitam hasil perkahwinan campur. Peliknya perbuatan ini tidak pula dilakukan kepada anak hasil perkahwinan dengan perempuan atau lelaki berkulit putih.

Mengulas perkara ini menurut ibu kepada dua cahaya mata, Noraini Mokhtar, 37, selain berdepan persepsi masyarakat yang memandang serong perkahwinan campur wanita Melayu dengan warga Afrika, anaknya juga berhadapan tekanan emosi kerana disisihkan rakan sebaya.

“Selepas berkahwin memang saya jangka perkara ini berlaku terutama melihat reaksi masyarakat yang memandang negatif perkahwinan campur dengan lelaki berkulit hitam.

“Jika saya sendiri menerima kata-kata negatif tidak mustahil anak turut menghadapinya,” katanya yang ditemui pada majlis pertandingan melukis anjuran Asian African Connection (AFC), baru-baru ini.

Dia yang pernah bergelar isteri kepada lelaki Nigeria, Eze Victor Mmaduabuchukwu pada 2011 mengakui cabaran yang dilaluinya sangat hebat terutama apabila berhadapan masyarakat.

“Pernah saya berjalan jauh daripada Eze atau meninggalkannya di rumah hanya kerana tidak mahu orang melihat kami sebagai pasangan suami isteri,” katanya yang mengakui jodohnya tidak panjang dan kini bergelar ibu tunggal.

Apa yang menyedihkan ialah kini anaknya, Fatimah Eze Giff Onyiyechi (Fatimah), 7, dan Siti Sarah Eze (Sarah), 5, pula berdepan persepsi negatif kawan di sekolah.

Ketika tahun satu, Fatimah tidak diterima rakan sekelas. Mereka tidak mahu berkawan dengannya disebabkan kulitnya gelap.

“Fatimah pernah mengadu diketawakan apabila mereka melihat rambut kerintingnya ketika ambil wuduk. Tidak sekadar mengejek kerana berkulit gelap, anak saya pernah ditampar,” katanya sedih.

Dia tidak mahu ke sekolah dan kerap menangis kerana trauma.

Sebagai ibu Noraini segera mengambil tindakan dan mengadu kepada guru kelas. Akhirnya selepas dipujuk berkali-kali barulah Fatimah mahu ke sekolah semula.

Walaupun bukan kali pertama dialami anaknya, ia memberi Fatimah semangat dan faham masih ada orang menyayanginya.

“Saya selalu beritahu anak semua ciptaan Allah sama. Kulit hitam atau putih, darah kita sama merah. Warna kulit dan bangsa tidak membezakan kedudukan manusia pada pandangan Allah,” katanya.

SALIZA

Hormat bukan kerana warna

BAGI Saliza Zainal, 37, dia juga berdepan masalah sama membawa anak sulungnya, Nur Ajua Aishah Quanoo Kofi, 14, mendaftar di sekolah kebangsaan sekembalinya ke Malaysia selepas menetap di Ghana selama lima tahun.

“Komunikasi menjadi masalah utama disebabkan Aishah langsung tidak boleh bertutur bahasa Melayu. Namun selepas enam bulan sedikit demi sedikit dia mula fasih dan memahami bahasa Melayu,” katanya.

Masalah timbul sebaik Saliza mendaftarkan Aishah di sekolah tahfiz ketika darjah lima. Disebabkan warna kulitnya, Aishah dibuli dan rakan sebaya mula membandingkan dirinya dengan orang lain.

“Paling mengguris hati apabila dia dipanggil ‘Busuk. Namun Aishah tidak pernah membalas ejekan mereka. Mujur cikgu sangat memahami tambahan pula Aishah menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah kerana mudah menghafaz al-Quran malah peribadinya disenangi semua guru,” katanya.

Selain Aishah, anak kedua Saliza, Mohd Aliff Yaw, 9, turut menerima nasib yang sama di sekolah.

“Namun Aliff menganggap ia hanya gurauan dan tidak berkecil hati jauh sekali membalas ejekan mereka. Penat mengejek, mereka akan diam,” katanya.

Berbanding kanak-kanak lain, bagi Saliza apa yang dihadapi anaknya tidak begitu keterlaluan. Mungkin raut wajah dan keadaan rambut membuatkan kanak-kanak lain menyangka Aishah dan Aliff keturunan India Muslim yang menyebabkan mereka kurang dibuli.

Selain cabaran membesarkan anak, Saliza turut mengakui dia turut menerima pandangan skeptikal masyarakat ketika mula-mula mendirikan rumah tangga dengan Quanoo Kopi pada 2004.

“Mungkin disebabkan cara didikan suami saya di Ghana seperti bercakap lantang dan kasar menyebabkan masyarakat menganggap semua lelaki kulit hitam sama. Saya selalu katakan kepadanya membiarkan andaian orang pada kita. Apa yang penting kita tunjukkan peribadi yang baik.

“Saya tidak menyangkal ada warga kulit hitam melakukan jenayah, mengganggu anak dara orang dan kasar, yang menyebabkan timbulnya persepsi negatif. Namun bukan semuanya begitu. Suami saya sendiri lebih suka bergaul dengan orang Melayu berbanding rakan senegara,” katanya.

Ditanya bagaimana boleh tertarik kepada Quanoo, Saliza berkata, inilah jodoh yang ditentukan Allah. Mereka bertemu ketika dia bertugas sebagai jururawat manakala Quanoo pesakitnya. Oleh kerana hanya Saliza fasih berbahasa Inggeris dalam kalangan jururawat menyebabkan dia terpaksa berkomunikasi dengan Quanoo setiap hari.

“Bermula dari situ kami sering berhubung sehingga suatu hari dia menyatakan ingin melamar saya. Mulanya ibu bapa tidak bersetuju namun mereka melihat perubahan drastik saya seperti menukar penampilan kepada bertudung dan mendengar kata selepas berkenalan dengan Quanoo. Kami diijabkabulkan pada 2004 selepas enam bulan berkenalan,” katanya.

Menurutnya, kita perlu ikhlas menerima seseorang, tidak kira apa bangsa dan warna kulit mereka apatah lagi jika saudara seagama. Jika kita boleh menerima anak yang kulit cerah, mengapa kita memandang rendah si kecil yang dikurniakan kulit gelap?

Jangan kerana sikap jahil kita, jiwa anak ini merana. Tidak kira apa pun warna kulit kita, gelap atau cerah, semuanya datang daripada Allah.