“Dia Selalu Beli Buah Tapi Saya Pelik Dia Nak Beli Kain Batik Sebab Banyak Kegunaan Katanya Termasuklah Untuk Kematian, Baru Saya Faham”

KUALA TERENGGANU – Allahyarham Surawati Mohd. yang terkorban bersama suaminya dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan – Seremban berhampiran Muadzam Shah, Rompin, Pahang hari ini merancang untuk menyambut sambutan ulang tahun kelahirannya ke-33 bersama anak sulungnya di Cameron Highlands, Pahang pada Sabtu ini.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, suami Surawati, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suri rumah berkenaan pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Rompin, Pahang kira-kira tiga jam kemudian.

Adik Surawati, Syaidatul Fatihah, 30, berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka iaitu Aryan Rizqy, 6;  Areesh Razeen, 4; dan Arfaan Rakeen, 2, dalam perjalanan ke rumah keluarga Muhammad Noor Idham di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Mereka kemudiannya merancang mendaki sebuah puncak gunung di Cameron Highlands sebelum meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Aryan Rizqy yang genap enam tahun pada Sabtu ini di pusat penganginan itu.

“Saya difahamkan kakak saya (Surawati) turut berhasrat meraikan sama ulang tahun kelahirannya ke-33 lebih awal yang sepatutnya pada 30 Oktober depan bersama-sama anak sulungnya pada hari berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Syaidatul Fatihah berkata,  Surawati dan Muhammad Noor Idham menggemari aktiviti pendakian dan sering membawa ketiga-tiga bersama-sama kegiatan riadah itu.

Sementara itu, dia memberitahu sempat menemani Surawati untuk membeli kain batik dan pakaian sebagai ole-ole di Pasar Besar Kedai Payang di sini pada Ahad lalu untuk dihadiahkan kepada keluarga mertuanya.

Ujarnya, sebelum itu, Surawati sempat meminta pendapat ibu mereka tentang hasratnya untuk menghadiahkan kain batik kepada ibu mertuanya.

Artikel Berkaitan   “Bila Dicelup Ke Dalam Sungai, Perlahan-Lahan Makhluk Badan Menggerutu Muncul Tapi Tidak Mengacau Sebab Dah Ada “Perjanjian””

“Ibu saya mencadangkan agar Allahyarham kakak membeli kain batik lepas kerana ia banyak kegunaannya termasuk sekiranya berlaku kematian.

“Sebenarnya saya pelik kerana sebelum ini kakak dan suami lebih gemar membeli produk makanan tradisional Terengganu sebagai buah tangan setiap kali pulang ke kampung mertua,” katanya.

Syaidatul Fatihah memberitahu jenazah Surawati dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang sebaik tiba di rumah mereka di Kampung Gonf Merawang, Rhu Muda, Marang pada lewat malam.

Dalam kemalangan yang mengorbankan Surawati dan Muhammad Noor Idham yang merupakan kakitangan Hotel Permai di sini, tiga anak mereka terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. – K! ONLINE