“Dia Sengaja Kentut Ke Arah Anggota Polis Tersebut Sebanyak Tiga Kali Sambil Bertanya, Adakah Kamu Sukakannya?”

Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah dilaporkan sengaja kentut ke arah muka seorang anggota polis ketika badannya diperiksa susulan satu kemalangan di Aberdeen, Scotland baru-baru ini, lapor akhbar The Sun.

Anggota polis menghampiri Stuart Cook, 28, di lokasi kemalangan sebelum terhidu bau ganja. Ketika mereka cuba menahannya, lelaki itu naik berang dan mula bertindak kasar.

Mahkamah Syerif Aberdeen dimaklumkan bahawa anggota-anggota polis memeriksa kenderaan suspek sebelum dia ditahan dan dibawa ke balai polis di Kittybrewster.

Ketika di balai tersebut, Cook diminta membongkokkan badannya untuk pemeriksaan badan sebelum suspek tiba-tiba kentut ke arah muka seorang anggota polis.

“Dia sengaja kentut ke arah anggota polis tersebut sebanyak tiga kali sambil bertanya, adakah kamu sukakannya?” kata timbalan pendakwa raya, Lucy Simpson.

Cook yang berasal dari Stonehaven, Aberdeenshire, sebelum ini mengaku bersalah di atas kesalahan memiliki dadah jenis kanabis.

Dia turut mengaku bersalah di atas tuduhan bersikap kasar atau mengancam keselamatan dengan menjerit dengan kuat, mengeluarkan kata-kata kesat serta ‘sengaja kentut’ ke arah seorang anggota polis.

Peguam bela, Laura Gracie menyatakan bahawa anak guamnya ketika itu terlibat dalam satu kemalangan kecil dan dia merasakan tindakan anggota polis terbabit ke atas dirinya agak keterlaluan.

Hakim, Ian Wallace mengarahkan Cook menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat selama 75 jam tanpa sebarang bayaran. – Agensi

Artikel Berkaitan   Penduduk Pakat Mencari Bilal Apabila Azan Tak Dikumandangkan. Rupa-Rupa….. Mungkin Itu Petunjuk Ajal