Diharapkan Jadi Penjaga Keamanan, 190 Anggota Polis Disahkan Positif Dadah, 6 Adalah Pegawai Kanan

KUALA LUMPUR: Enam pegawai kanan adalah antara 190 anggota polis yang ditahan dalam operasi “Ops Blue Devil” yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan sejak 13 Ogos lalu, bertujuan membanteras aktiviti dadah dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan pemeriksaan terhadap 5,385 anggota polis.

Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader, daripada jumlah tersebut, seramai 161 anggota dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

Jelas Mohd Khalil, kesemua mereka kini diletakkan di bahagian pentadbiran bukan operasi (Non-operational) dan berdepan tindakan dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.

“Selepas saringan pertama dan apabila mereka didapati positif, kita akan hantar kepada Jabatan Patologis untuk mengesahkan keputusan rasmi saringan.

“Kemudian kita akan sabitkan mereka di mahkamah seperti mana orang awam,” katanya.

Mohd Khalil berkata demikian pada Majlis Pemakaian Pangkat pegawai kanan JSJN di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalil berkata operasi mencegah aktiviti dadah dalam kalangan anggota polis akan diteruskan sehingga ke akar umbi dan PDRM dapat dibersihkan daripada najis tersebut.

“Dalam pada itu, kita telah mulakan pendidikan di peringkat Pusat Latihan yang mana pucuk pimpinan akan hadir bersama pelatih. Kita mesti terbuka kepada perkara ini dan pelatih harus didedahkan dengan kesan sekiranya mereka tersalah langkah,” katanya.

Artikel Berkaitan   “Kepada Pemimpin UMNO Yang ‘Musang Berbulu Ayam’, Kalian Perlu Sedar Bahawa Topeng Kalian Telah Dikenalpasti”