Dipercayai Mampu Sembuhkan Luka Dalaman, Pundi Hempedu Dijual Mencecah RM3,360 Buruan Pedagang Haram

Organ beruang madu buruan pedagang haram


ORGAN dan beberapa bahagian terutama hempedu beruang madu atau nama saintifiknya Helarctos Malayanus menjadi bahan perdagangan haram kerana didakwa mampu menyembuhkan penyakit secara tradisional.

Ia bukan saja dijual secara sembunyi di pusat rawatan tradisional, malahan di sesetengah tempat termasuk Sarawak, daging haiwan itu juga dijual secara terbuka dalam pasar, manakala hempedunya dijual sebagai ubat.

Seluruh anggota dan organ beruang madu dikatakan mempunyai harga dalam pasaran disebabkan kepercayaan bahawa haiwan itu mampu mengubati penyakit.

Penduduk asli khususnya di Borneo secara tradisinya dikatakan percaya hempedu beruang madu yang keluar daripada pundi hempedu haiwan berkenaan yang merebak ke dalam badan mampu menyembuhkan kecederaan akibat terjatuh.

Sasaran penggemar makanan eksotik

Permintaan terhadap organ selain daging oleh penggemar makanan eksotik menyebabkannya diburu secara haram, sekali gus meningkatkan kepupusan haiwan berkenaan.

Dianggarkan, 30 peratus populasi beruang madu berkurangan sejak tiga dekad lalu dan diklasifikasikan sebagai terancam dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Beruang madu cuma boleh ditemui di beberapa tempat di Asia, Sumatera di Indonesia dan Borneo dengan di Sabah, spesies beruang terkecil di dunia itu mendiami kawasan hutan tanah rendah di Lembangan Maliau, Lembah Danum dan Hutan Kanyon Imbak, namun kepadatannya adalah rendah.

Di Sabah, beruang madu dilindungi sepenuhnya menerusi Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Satu-satunya pusat pemeliharaan tunggal bagi haiwan berkenaan di dunia adalah Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) terletak di Hutan Simpan Kabili-Sepilok yang dibina sejak 2008 dengan keluasan 2.5 hektar.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Wong Siew Te, berkata sejak ditubuhkan, sebanyak 48 beruang madu diselamatkan daripada penduduk kampung yang menjadikan mamalia itu sebagai haiwan peliharaan, ditempatkan di mini zoo selain daripada perdagangan haram.

Katanya, ancaman paling besar ke atas kepupusan beruang madu adalah keluasan hutan yang semakin mengecil selain pemburuan haram yang menambahkan tekanan terhadap haiwan berkenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup serta sikap masyarakat yang menyimpan beruang madu sebagai haiwan peliharaan.

Pemburuan berkurangan

“Biarpun di Sabah aktiviti pemburuan terhadap beruang madu berkurangan sejak kebelakangan, namun kita percaya perdagangan haram masih berlaku.

“Di negara seperti Kemboja dan Vietnam, perdagangan beruang madu adalah perkara biasa, namun ia masih haram kerana spesies ini dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Mengenai langkah perlu diambil bagi menangani ancaman ke atas beruang madu, Siew Te berkata, usaha perlu diambil bagi meningkatkan keluasan hutan hujan tropika di negara ini yang menjadi habitat bagi haiwan termasuk beruang madu dengan mengelak penebangan pokok untuk pembalakan.

Tingkat kerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Katanya, BSBCC juga turut bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi menangani aktiviti pemburuan haram menerusi pendidikan mengenai alam semula jadi serta persekitaran dengan sasaran golongan pelajar dan penduduk kampung.

“Selain itu, kita juga meningkatkan usaha bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengelak memelihara beruang madu kerana ia aktiviti haram dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap kepentingan haiwan itu serta peraturan undang-undang,” katanya – Berita Harian

Ratusan Kedai Ubat Jual Produk Diperbuat Daripada Spesies Beruang Terancam

KUALA LUMPUR: Kira-kira separuh daripada lebih 300 kedai ubat tradisional di Malaysia yang dikaji pada tahun 2012 didapati menjual item haram yang dibuat daripada spesies beruang terancam.

Kumpulan pemantauan hidupan liar, Traffic, mendapati sejumlah 175 daripada 365 kedai yang dikaji di sini menjual ubat-ubatan yang diperbuat daripada hempedu atau pundi hempedu beruang.

“Kadar ini adalah paling tinggi di Semenanjung Malaysia, di mana 51 peratus (148 kedai) daripada kedai yang diperiksa didapati menjual produk beruang,” menurut laporan itu yang dinamakan ‘Hard Bear’.

Produk yang dijual di kedai-kedai ini didapati dalam pelbagai bentuk termasuklah pundi hempedu beruang, pil hempedu beruang, ekstrak hempedu dan banyak lagi.

Sebilangan daripadanya mungkin telah diperoleh daripada beruang hitam Asia yang didapati di seluruh Asia Timur dan beruang matahari yang ditemui di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Pundi hempedu beruang. -foto ihsan TRAFFIC Southeast Asia

Harga yang dianggarkan adalah di antara RM0.40 untuk sebiji pil ke RM3,360 untuk pundi hempedu dengan berat keseluruhan 38 gram.

Walaupun kebanyakan barangan ini dikatakan telah diimport, sebahagian pundi hempedu dipercayai diperolehi daripada Malaysia.

“Hampir 60 peratus daripada semua pundi hempedu beruang yang diperhatikan untuk jualan runcit didakwa diperolehi daripada beruang tempatan,” kata laporan itu.

Sesetengah pemilik kedai mengakui bahawa sumber utama pundi hempedu beruang diperolehi daripada Orang Asli termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Pemburu haram, kata kumpulan itu, mungkin juga telah terlibat dalam pembunuhan beruang di sini, walau bagaimanapun Traffic tidak mempunyai jumlah yang telah diburu.

Tanpa diketahui berapa ekor beruang yang dibunuh setiap tahun untuk mendapat organ-organnya, namun ia boleh bermula dengan ratusan ke ribuan ekor.

Laporan itu menambah, lebih dari 13,000 beruang mungkin telah dikurung di ladang beruang di seluruh China, Laos, Myanmar, Korea Selatan dan Vietnam.

Menurut undang-undang Malaysia, beruang matahari adalah spesies yang benar-benar dilindungi di Semenanjung dan Sabah. Di Sarawak, status perlindungannya adalah lebih rendah – Mstar Online