Disangka Jemaah Subuh Telah Balik, 2 Lelaki Ini Tergamam Ditangkap Orang Ketika Leka Mencuri Tabung Masjid

Kuantan: Cubaan tiga lelaki mencuri duit tabung sebuah masjid di Sungai Isap, di sini, terbantut apabila ditangkap beberapa jemaah yang berada di masjid itu selepas menunaikan solat Subuh, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, ketiga-tiga lelaki terbabit berusia 19 hingga 20 tahun ditahan jemaah masjid itu selepas gagal memboloskan diri bersama barangan curi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki masjid itu selepas menyangka semua jemaah pulang sebaik selesai menunaikan solat Subuh.

“Siasatan awal mendapati jemaah yang menangkap suspek turut merampas semula tabung masjid mengandungi wang tunai hasil sumbangan orang ramai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, dua anggota polis peronda yang tiba di lokasi kejadian kemudian membawa ketiga-tiga suspek ke Balai Polis Kuantan, di sini, untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil ujian saringan dijalankan mendapati semua suspek disahkan positif dadah jenis amphethamine.

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari di lokap Balai Polis Kuantan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan   “Saya Dah Warning Dia Tapi Dia Tak Dengar” Lelaki Ini Terus Menyembur Alat Pemadam Api Kepada Perokok Degil