Dituduh Jalinkan Hubungan Dengan Isteri Orang, Doktor Lelaki Lunyai Dipukul Serta Dipijak

KAJANG – Seorang doktor perubatan cedera di muka dan badan selepas dipukul oleh seorang lelaki dalam satu kejadian di sebuah klinik swasta di Bandar Baru Bangi dekat sini semalam.

Kejadian itu bagaimanapun mula mendapat perhatian netizen selepas satu rakaman klip video berdurasi 2 minit 20 saat yang memaparkan doktor lelaki berkenaan dipukul serta dipijak oleh seorang lagi lelaki tular di laman media sosial pagi tadi.

Difahamkan, doktor perubatan itu dipukul selepas didakwa menjalinkan hubungan cinta bersama isteri kepada lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian daripada doktor berkenaan yang mendakwa di pukul sewaktu berada di kliniknya.

“Laporan diterima pada pukul 3.45 petang semalam dan pihak polis sedang melakukan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 serta 506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian bolehlah berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Fahrul Anuar di talian 014-370 0870. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Selesai Penemuan Keempat-Empat Mayat Pelajar Yang Mati Lemas Semuanya