
KUALA LUMPUR, 20 Feb — Jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri bertegas dirinya tidak mengaut keuntungan dengan membuat video di YouTube.
Membidas tuduhan pelawak Ali Puteh, Aliff, 32, berkata beliau tidak ada niat lain kecuali membantu keluarga arwah Abam.
“Tak kaya pun buat YouTube, bayar duit minyak kereta saja lepas,” tulisnya di Instagram.
“Memang saya bantu semua orang, kalau nak bincang baik-baik saya ok saja, kenapa macam nak gaduh?”
Penyanyi Abang Nak Tegur berkata demikian selepas dimarahi Ali yang juga adik Abam kerana melawat kakak ipar pelawak itu, Norhidayah Mohd Ali.
Menuduh Aliff sebagai orang kaya yang gemar mengambil kesempatan, Ali mencabar pengasas D’Herbs itu bersemuka bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Saya tak faham. Saya hanya beri bantuan duit dan peralatan rumah dari jenama saya sebab saya lihat dia memerlukan. Selain itu bertanya khabar dan disambut baik mereka,” katanya.
“Saya tak kaya pun buat YouTube, dah lama buat perniagaanlah. Tunggu tindakan saya.”