“Dulu Masa Dia Nak Berkahwin Dengan Kakak Aku, Aku Tengok Dia Atas Bawah. Boleh Ke Dia Nak Sara Kakak Aku Ni?Tapi Sekarang…..”

Kagum membaca perkongsian lelaki ini mengenai usaha abang iparnya dalam mendirikan rumah tangga. Segalanya bermula dengan menetapkan niat berkahwin itu untuk apa. Kemudian diusahakan dengan melakukan tiga pekerjaan dalam sehari.


Benarlah kata orang, “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. Kalau baik niatnya, maka baiklah hasilnya.”. Kepada mereka yang bakal berkahwin, manfaatkanlah perkongsian ini.

AKU sampai sekarang terkenang apa yang abang ipar aku pesan dalam kereta petang tadi, pasal perkahwinan dia masa nak ambil kakak aku keluar dari hospital yang dah bersalin anak kedua.

Abang ipar aku ini orang kampung dan dia kerja kilang saja. Dia orang Perak, aku panggil dia Abang Epul. Dulu masa dia nak berkahwin dengan kakak aku, aku tengok dia atas bawah. Boleh ke dia nak sara kakak aku ni? Kakak aku masa zaman anak dara dulu baju branded, makan sedap-sedap tetapi gangster.

Perkahwinan diorang ini atas kerja makcik bawang yang kenan-kenankan. Maka bercintalah mereka. Abang Epul masa itu dah kerja di Putrajaya dan sekarang juruteknik di kilang apa entah, tak tahu. Tetapi Alhamdulillah aku senang tengok kehidupan kakak aku sekarang, anak dah dua.

Abang ipar aku pesan, kita ni nak buat apa-apa kena ‘tajdid niat’. Dia kata, dulu masa dia bertunang dengan kakak aku, wallahi duit poket dia cuma ada RM40 sahaja. Dia nak kahwin dengan kakak aku sebab kakak aku ni rare, tak gedik, tak suka mekap, slumber, rileks dan tak kisah.

Banyak kali dia berdoa minta dipermudahkan urusan dia nak mencari duit sebab ‘niat’ dia nak elak maksiat, dia nak kahwin dengan kakak aku sebab dia kata kakak aku bagus dalam management. Tahu nak uruskan abang ipar aku macam mana dan sebagainya.

Sekali, dia buat tiga kerja dalam satu hari tapi tak rasa penat. Dia kata, walaupun dia kerja macam nak mati, gaji dia satu sen pun dia tak sentuh. Dia pesan, ada duit gaji, ingat pada mak dan ayah. Bagilah walaupun RM50. InshaAllah, Allah lipat gandakan rezeki.

Entah macam mana, ada saja kerja dia dapat sampai dia dapat capai sasaran dia. And the best part, dia serahkan kad kredit dia kepada kakak aku. Tetapi kakak aku kata jangan bagi password sebab kakak aku tak nak tahu. Cuma bagi kad sahaja. Dengan itu, tak adalah abang ipar aku gatal-gatal nak keluarkan duit, tajdid niat: kahwin.

Dalam tempoh dia bertunang itu, dia kata dia banyak kali buat solat istikharah dan solat hajat. Sungguh-sungguh dia buat dan nak tahu tak? Kuasa Allah, seorang-seorang perempuan yang dia suka tinggalkan dia atas bermacam alasan dan dalam solat harian dia, dia kata dia nampak muka samar-samar tetapi dia yakin 100% itu adalah kakak aku.

Petunjuk dia dapat bukan dalam mimpi, tetapi tindakan orang itu. Dia kata puas dia uji kakak aku macam-macam, pancitkan tayar kena tolaklah, dah pakai lawa-lawa akhirnya lepak di kedai mamak lah.

Pernah pula tu dia kata dengan kakak aku pasal dia rindukan bekas teman wanita dia. Kakak aku buat tak reti saja. Pernah saja dalam date redah naik motosikal kapcai (padahal kereta ada) pun kakak aku okay lagi. Duit tak ada pun kakak aku tontong. Eh banyaklah dia cerita.

Kata dia, kahwin ini tak senang, kena struggle. Sebelum kahwin, kita kata kita boleh, dah lepas kahwin tu, boleh tu kita tak sendiri tak mampu sebenarnya. Jangan putus doa, niat itu sangat besar kesannya. Mak dan ayah jangan lupa dibantu dan jangan lupa doakan.

Ramai saja geng kampung dia tak percaya abang ipar aku berbeza dengan dulu. Sekarang hidup dah ada visi dan misi, well managed sebab dapat isteri yang dia kata rare, anak dah dua pun okay je, steady je. Sebab apa? Berkat tajdid niat dan jaga kebajikan orang tua.

Seriously aku inspired sangat. Betullah, “Lelaki yang hebat ini adalah sebab adanya wanita yang kuat di belakangnya” dan jangan pernah putus kebergantungan dengan Allah. Rezeki itu luas, sama ada kita sedar atau pun tidak. Serious, aku terkesan dengan cerita dia.

Sumber: ZoeyThe Reporter