Dulu Pilot Di Udara, Sekarang Jadi “Pilot” Di Atas Jalan Raya, Netizen Puji Lelaki Ini

“TIADA apa nak dimalukan walaupun kini, saya tidak lagi memakai pakaian seragam (juruterbang) seperti dulu.

“Biarlah apa orang nak kata kerana apa pun yang berlaku, saya perlu terus mencari rezeki demi menunaikan tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga,” kata kapten pesawat, Mohd Faridz Abu Bakar, 40.

Mohd Faridz memberi reaksi itu ketika berkongsi pengalamannya yang kini giat membantu isterinya, Dayana Mohamad Noh, 40, membuat penghantaran kek dan minuman berperisa lemon yang dijual secara dalam talian kepada pelanggan.

Bercerita lanjut, Mohd Faridz berkata, rutin itu dilakukannya sejak 1 Ogos lalu iaitu selepas mengambil cuti gaji selama setahun berikutan Covid-19 hasil persetujuan bersama antaranya dan majikan.

Biarpun janggal pada mulanya, Mohd Faridz cuba menyesuaikan diri dengan perubahan rutin hariannya yang tidak lagi memandu pesawat dan membawa penumpang ke pelbagai destinasi seperti kebiasaannya.

“Saya sudah biasa bekerja dan bergelar juruterbang sejak 2005 iaitu 15 tahun lalu .

“Kini, kebanyakan masa di rumah jadi memang terasa ada sesuatu yang kurang dan janggal terutama apabila mahu mencuba perkara baru.

“Namun, kekuatan saya datang daripada isteri yang paling banyak memberi sokongan selain keluarga dan rakan.

“Jika tidak, boleh jadi, saya juga ada kemungkinan mengalami kemurungan kerana berdepan situasi yang tidak pernah jangka berlaku pada tahun 2020,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tiara Heights, Salak Tinggi di Sepang, semalam.

MOHD Faridz membantu isterinya, Dayana menyiapkan kek yang disiapkan sebelum dihantar kepada pelanggan di kediamannya. FOTO Hazreen Mohamad

Bercerita lanjut, Mohd Faridz berkata, perniagaan kek yang diusahakan kini sudah dijalankan isterinya sejak dua bulan lalu, manakala jualan minuman baru bermula dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan   “Saya Pernah Satu Masa Fobia Bila Bercakap Bahasa Melayu” Sharifah Amani Malu Jadi Orang Melayu?

Katanya, dia membantu dalam urusan pembungkusan dan penghantaran dan manakala isterinya fokus menyediakan kek dan minuman.

“Sebelum membantu isteri sepenuh masa , saya pernah bekerja sebagai penghantar bungkusan (parcel) sebuah syarikat kurier selama sebulan selain menjual daging stik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, pengalaman itu sedikit sebanyak membantu. Cuma, jika dulu, saya boleh meraih pendapatan mencecah lima angka tetapi kini menjadi tiga angka.

“Mujurlah ada simpanan dan terima kasih juga kepada kerajaan kerana membantu menerusi pelaksanaan moratorium,” katanya.

MOHD Faridz siap sedia menghantar bungkusan kek yang ditempah pelanggan. FOTO Hazreen Mohamad

Mohd Farid berharap, wabak Covid-19 akan reda supaya keadaan dapat kembali seperti asal kerana rindu untuk menjalankan tugas seperti dulu.

“Industri penerbangan ini antara sektor yang paling terkesan jadi saya perlu terima kerana ramai rakan menerima nasib sama.

“Cuma, perasaan rindu untuk bekerja tentunya ada bukan kerana soal duit semata-mata tetapi kepuasan.

“Setakat ini, saya masih berhubung dengan rakan sekerja tetapi ada di antara mereka yang saya tidak tahu statusnya sama ada masih bertugas atau sebaliknya.

“Memang sedih dan berharap semoga keadaan kembali pulih,” katanya.

kredit harian metro