“Durian Memang Banyak Kebaikan, Tapi Takut Juga Bila Tau Durian Juga Ada Keburukan” Pakar Ini Kongsi Petua

DURIAN ANTARA SIHAT DAN NIKMAT 


Berikut adalah temuramah saya dengan wartawan Harian Metro pada 30 Julai 2018 

1 . Boleh Dr jelaskan bahan-bahan  nutrisi atau zat yg terdapat dalam durian dan apakah kepentingan nutrisi ini?

Durian (Durio zibethinus) adalah buah tempatan yang enak dan bernutrisi. Ramai yang memakan durian kerana rasanya yang manis dan berlemak. Oleh itu kita selalunya mengambil isi durian dalam kadar yang berlebihan, tanpa mengetahui manfaat dan keburukannya.

Secara amnya. isi durian mengandungi 65% air, 27% karbohidrat termasuk 4% adalah serat, 5% lemak dan 1% protein.

Satu cawan (250gram) isi durian mempunyai 360 kCal yang kebanyakannya dari lemak dan karbohidrat. Berdasarkan keperluan tenaga seorang dewasa, pengambilan secawan isi durian (atau 2-3 ulas durian) hampir memenuhi keperluan kalori yang diperlukan oleh seseorang untuk makan pagi, makan tengahari atau makan malam. Dengan kata yang lain, jika kita ambil 2-3 ulas durian, dari segi tenaga, kita sudah tidak perlu makan tengahari lagi.

Pada zaman dulu, kita hidup dalam perkampungan yang tidak jauh dari hutan. Kita bekerja membersihkan hutan, menanam dan menternak. Buah-buahan yang terdapat di sekitar kita adalah sumber utama pembekal tenaga. Jadi kita makan banyak isi durian, tidak memudaratkan kerana keperluan tenaga untuk bekerja amat tinggi. Isi durian juga membekalkan juga vitamin dan mineral untuk membaiki tisu-tisu tubuh yang rosak akibat kerja kuat menggunakan ‘tulag empat kerat’.

Selain mempunyai kandungan tenaga yang tinggi, isi durian mengandungi vitamin B seperti Thiamine (B1), Riboflavin (B2), Niacin (B3), Pantothenic acid (B5), Vitamin B6 dan Folate (B9) , vitamin C dan mineral manganese dan potassium.

Kita memerlukan pelbagai jenis vitamin B sebagai sumber utama dalam pembentukan darah merah, dan memastikan sistem saraf kita berfungsi dengan baik. Manganese juga membantu fungsi saraf, di samping membantu pembentukan tisu penghubung, tulang, dan metabolisme lemak dan karbohidrat. Kita memerlukan potassium untuk mengawal tekanan darah, kesihatan jantung, otot dan tulang.

Apa yang menarik, isi durian mengandungi asid amino tryptophan yang menjadi sumber utama untuk pembentukan hormone serotonin dan melatonin yang membantu kita berasa tenang dan mudah untuk tidur.

Jadi banyak manfaat dari nutrisi yang boleh kita dapati dari isi surian, tetapi jangan ambil dalam kuantiti yang banyak. Ia mungkin memudaratkan.

2 . Mereka yang ada penyakit tertentu spt diabetes dan darah tinggi dinasihatkan mengurangkan pengambilan durian. Mengapa?

Pesakit diabetes mempunyai masalah dalam metabolisme karbohidrat. Seperti yang kita tahu, isi durian mengandungi banyak karbohidrat iaitu gula yang terdiri dari glukosa dan fruktosa yang tinggi. Ia memberikan tenaga yang agak banyak. Ia akan menyebabkan tahap gula akan darah melambung tinggi dan memberi kesan buru kepada organ tubuh pada pesakit diabetes.

Bagi orang yang sihat, tahap gula yang tinggi akan dimetabolisme dengan lebih lama dan menyebabkan tubuh menjadi rasa panas. Jik diambil sebelum pada waktu malam, ia mungkin akan menyebabkan rasa tidak selesa kerana panas badan jika diambil dalam kuantiti yang banyak.

Durian juga mempunyai bahan sulfur yang menyebabkan kentut kita berbau kuat.  Sebelum kentut ini dikeluarkan, ia mungkin  rasa kembung perut.

Bagi pesakit ginjal dan jantung, pengambilan isi durian yang berlebihan akan menyebabkan tahap potassium menjadi tinggi dan menggantu fungsi ginjal.

Bagi pesakit darah tinggi, pengambilan isi duran yang sederhana (2-3 ulas) tidak memberikan kemudaratan, dan mungkin dapat membantu menurunkan tekanan darah.

Pesakit kronik yang ingin mengambil durian, saya sangat menasihatkan agar berhati-hati. Ambil sesudu untuk menikmatinya, mungkin tidak memudaratkan. Bincang dengan doctor yang merawat kerana ia dapat memantau keadaan pesakit-pesakit ini.

  1. Jika ingin mengambilnya berapa banyak yang disyorkan dan cara makan dengan betul?

Bagi mereka yang sihat, 2-3 ulas untuk sekali hidang sudah mencukupi. Bagi mengelakkan pengambilan terlalu banyak, satu mencadangkan kita berkongsi makan durian bersama kawan-kawan. Lebih banyak durian yang dihidangkan, lebih ramai kawan-kawan yang dijemput hadir. Ini membantu mengurangkan pengambilan isi durian.

Memakan durian berlebihan mungkin tidak mendatangkan kemudaratan bagi mereka yang sihat. Tetapi jika ia kerap diambil (sebagai contohnya setiap hari) dalam kuantiti yang banyak ia sudah tentu memudaratkan. Sebab itu secara semulajadi, kita akan berasa muak dan tidak berselera lagi untuk makan durian jika selalu dimakan. Saya mencadangkan kita makan durian sesekali pada waktu tertentu sebagai meraikan sesuatu seperti harijadi anak-anak. Ia akan lebih memberikan nikmat, merapatkan keakraban keluarga dan memberikan manfaat.

Jangan mengambil isi durian bersama dengan makanan yang mempunyai karbohidrat tinggi (terutamanya karbohidrat ringkas seperti kek manis atau minum bergas) yang lain kerana ini akan menyebabkan peningkatan gula yang trlalu tinggi dengan cepat. Bagi mereka yang sihat mungkin akan mengalami dehidrasi dan akhirnya pitam. Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik ia sudah pasti akan menyebabkan masalah yang sama.

Jangan ambil isi durian bersama makanan atau minuman yang mengandungi kafein (seperti kopi, kola, koko, teh) kerana ia mungkin memberikan ransangan jantung. Kandungan potassium yang tinggi bila bergabung dengan cafein akan menyebabkan kemudaratan pada jantung. Ia mungkin tidak berlaku pada semua orang tetapi ia tetap boleh berlaku.

Minumlah banyak air kosong. Tahap gula yang tinggi (terutama apabila memakan terlalu banyak durian) boleh menyebabkan keadaan dehidrasi dan akhirnya mendatangkan kemudaratan. Dengan minum air yang mencukupi, ia dapat mengelakkan dehidrasi.

  1. Terdapat beberapa pantang larang durian yang sering disiarkan di media sosial. Sebenarnya apakah makanan ini perlu dielakkan ketika mengambil durian? dan mengapa?

Tiada bukti yang kukuh yang membuktikan bahawa terdapat makanan tertentu yang tidak boleh diambil ketika makan isi durian. Apa yang dikongsikan di media sosial mungkin hanya anggapan atau pengalaman orang dulu. Namun tidak salah jika kita mengambil langkah berjaga-jaga berdasarkan pengalaman orang lama.

Seperti mana yang saya beritahu, kemudaratan mungkin akan berlaku jika seseorang yang mempunyai penyakit kronik (atau mungkin dia tidak sedar dia mempunyai penyait kronik) memakan terlalu banyak durian dan tidak minum air kosong yang mencukupi.

  1. Bagi kanak-kanak dan ibu hamil adakah mereka juga perlu berjaga-jaga ketika mengambil durian? Apakah kesannya sekiranya pengambilan secara berlebihan untuk kanak-kanak dan ibu hamil?

Belum ada lagi bukti yang kukuh memakan durian memberikan kesan buruk terhadap kanak-kanak. Tetapi dalam mana-mana keadaan pun pengambilan makanan atau minuman yang berlebihan akan memberikan kemudaratan. Ini termasuk memakan isi durian.

Durian akan meningkatkan gula dalam darah, menyebabkan rasa panas (akibat metabolisme gula) dan rasa kembung. Jadi ia tidak sesuai diambil banyak oleh kanak-kanak.

Bagi wanita hamil, juga tiada bukti ia memberikan kesan buruk. Tetapi dari pengalaman orang lama, ia boleh menyebabkan keguguran terutama di awal kehamilan jika diambil dalam kuantiti yang banyak.  Jadi berhati-hatilah.

  1. Dari sudut saintifik adakah meminum air dalam pangsa durian dapat mengurangkan kepanasan badan sejauh mana ia benar?

Tiada kajian saintifik yang menunjukkan dengan minum air dalam pangsa durian akan mengeluarkan kepanasan. Ia sebenarnya pengalaman orang lama yang memerhatikan dengan minum air yang secukupnya akan mengurangkan rasa panas individu yang makan isi durian itu. Jadi minumlah air yang cukup untuk mengelakkan rasa panas dan kemudaratan yang lain.

Begitu juga ada petua yang mengatakan pengambilan air yang dicampurkan dengan daun durian dapat mengurangkan rasa panas. Belum ada lagi kajian kukuh, cuma saya percaya minum air secukupnya dapat mengurang kesan dehidrasi selepas makan isi durian.

Bagi menggalakkan pemakan durian meminum air yang mencukupi, orang-orang lama mencadangkan pengambilan air dari pangsa durian atau merendamkan daun durian (untuk dijadikan teh) dan diminum.

  1. Bagaimana dengan individu yang mengambil ubat-ubatan. Bolehkah mengambil durian bersama ubat? Apakah kesannya?

Bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan, perlu berhati-hati kerana ada ubat yang mudah diserap dalam badan apabila perut kita diisi dengan makanan, dan ada ubat yang perlu diambil ketika perut kosong. Jadi bertanyakan kepada doktor bagi mengetahui bila sepatutnya diambil.

Bagi pesakit diabetes, memakan isi durian boleh menyebabkan peningkatan gula yang tinggi dengan cepat. Oleh itu ubat-ubat diabetes harus diambil segera.

  1. Bagi individu sihat adakah simpton seperti pening kepala selepas makan durian menandakan tekanan darah tinggi atau kandungan gula darah yg tinggi? Apakah yang boleh dilakukan mereka?

Rasa pening kepala hanya berlaku pada individu yang memakan banyak durian kerana ia meningkatkan gula dalam darah, secara tidak langsung memekatkan darah. Isi durian juga menyebabkan rasa kembung perut dan merangsangkan rasa pening, mual dan mahu muntah.

Bagi mereka yang tidak biasa makan durian, bau durian yang mengandungi banyak sulfur menyebabkan rasa mual dan pening kepala.

  1. Nasihat dr kepada pencinta durian terutama pada mereka yang mempunyai penyakit 3 serangkai?

Bagi mereka yang ada penyakit kronik, eloklah mengambil pendekatan “merasa” dan bukan “makan”. Setiap tahun ada musim durian, dan kita sudah makan durian berpuluh tahun. Apasalahnya ketika kita sedang ada masalah kesihatan, kita “merasa” isi durian beberapa sudu dan menikmatinya.

Bagi pesakit kronik yang “memakan durian”, maksima kuantiti adalah 2-3 ulas dalam satu hidangan. Lebih selamat jika ia diambil dengan kaedah “merasa” iaitu hanya mengambil 2-3 sudu.  Minum air kosong secukupnya bagi mengurangkan rasa panas dan mengelakkan tahap gula terlalu tinggi. makan durian pada waktu malam.

Dan selalulah buat pemantau terhadap kesihatan dengan mendapatkan nasihat dan pemeriksaan doctor yang selalu merawat.

Terima kasih. Semoga bermanfaat.