“Eii Comelnya” Tenggiling Ini Bertindak Menutup Mukanya Bila Tersepit Di Mangkuk Tandas

JIXI, China – Sepasukan anggota polis berjaya menyelamatkan seekor tenggiling yang ditemui tersangkut di dalam sebuah mangkuk tandas di asrama kakitangan perkhidmatan kereta api di sini Jumaat minggu lalu.

Penghuni asrama itu memaklumkan kepada pihak berkuasa sebaik sahaja mereka mengesan haiwan terancam tersebut. Pasukan polis terpaksa memecahkan mangkuk tandas tersebut menggunakan tukul kecil untuk membebaskan mamalia itu.

Satu rakaman video menunjukkan anggota polis berhati-hati memecahkan bahagian bawah tandas tersebut manakala tenggiling itu kelihatan menutup muka menggunakan kakinya.

Selepas berjaya dibebaskan, tenggiling comel itu dilihat menggulungkan badannya menjadi bola sebelum dipindahkan anggota polis ke dalam sebuah kotak.

Pegawai jabatan perhutanan kemudian mengambil beberapa keping gambar, mengambil ukuran dan mengesahkan haiwan tersebut tidak cedera sebelum melepaskannya kembali ke dalam hutan, jelas satu kenyataan akhbar pihak polis.

Tenggiling adalah antara haiwan paling terancam di dunia termasuk di China tetapi menjadi antara makanan eksotik paling banyak diseludup kerana dagingnya dianggap istimewa manakala sisiknya dipercayai mengandungi khasiat perubatan.

Walaupun diberi status terlindung dan penjualannya dilarang di seluruh dunia, ratusan ribu ekor tenggiling diburu secara haram setiap tahun dengan sisiknya kerap digunakan sebagai bahan perubatan tradisional Cina bagi merawat penyakit seperti selesema mahupun kanser. – Agensi

Artikel Berkaitan   Selepas Dikecam Hebat Netizen, Rayer Akur Dan Tarik Diri Untuk Kes Jual Mykad