Ella Teruja Untuk Mula Aktif Dengan Misi Kemanusiaan

KALI pertama menyertai misi kemanusiaan di Lubnan yang terletak di sempadan Syria pada hujung April lalu, Ratu Rock, Ella menyifatkan pengalaman tersebut menumbuhkan satu semangat juang yang tinggi dalam dirinya.

Meskipun timbul perasaan takut dan bimbang ketika berada di negara bergolak itu, namun tatkala melihat kedaifan yang dilalui penduduk di negara tersebut, ia lantas gagal mematahkan perasaan Ella untuk terus menanam hasrat menyertai mana-mana misi kemanusiaan pada masa akan datang.

Teruja bercerita tentang memori menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kedamaian Kemanusiaan Berhad pada April lalu, lebih membuatkan Ella teruja apabila perjalanan tersebut dikongsi bersama suaminya, Azhar Ghazali.

Ikuti temu bual bersama penyanyi berusia 53 tahun itu ketika ditemui pada malam Konsert Minggu Ini: Ratu 2.0 (KMI:Ratu 2.0) di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Baru-baru ini Ella menyertai misi bantuan kemanusiaan di Lubnan. Boleh ceritakan pengalaman sepanjang menyertai misi berkenaan?

ELLA: Semasa menyertai misi itu, saya berpeluang pergi ke Utara dan Selatan Lubnan iaitu sempadan negara Syria dan Palestin. Suasana di sana sangat menyedihkan. Sejujurnya, saya tidak sanggup melihat kesengsaraan dan penderitaan rakyat di Syria dan Palestin, apatah lagi ketika melihat anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Namun, berat mata memandang, berat lagi apa yang mereka tanggung. Mereka memang perlukan bantuan kerana di sana sangat daif dan teruk akibat pergolakan.

Mungkin anda boleh kongsikan apa cabaran yang dilalui sepanjang berada di sana?

Keadaan di sana agak kotor, jadi itu adalah cabaran yang perlu pasukan kami tempuhi. Itu belum ditambah dengan perasaan takut. Semua orang tahu macam mana kalau keadaan negara tengah bergolak. Di mana-mana sahaja ada askar berkawal. Pernah juga kami terpaksa berpatah balik selepas tidak dibenarkan melepasi kawasan yang mahu dilalui. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangat saya untuk terus menyertai lebih banyak misi seperti itu selepas ini.

Artikel Berkaitan   Abang Sado Tengah “Work Up”, Jiran Panggil Lalu Menetaknya Dengan Parang

Selain di tempat orang, apakah anda ada sasaran untuk melakukan misi kemanusiaan dalam negara?

Saya memang ada sasaran untuk misi luar dan dalam negara. Untuk dalam negara, sekurang-kurangnya saya mahu sertai untuk dua atau tiga kali misi lagi. Kemungkinan ke utara tanah air, sebab menurut kajian yang dilakukan pasukan kami, di sana ada tempat-tempat yang memerlukan bantuan.

Baiklah, mungkin boleh komen sedikit tentang gandingan anda bersama Ziana Zain dan Siti Nordiana dalam KMI: Ratu 2.0?

Saya tidak sangka sambutannya sungguh luar jangkaan sampai penuh auditorium dengan peminat. Aura yang ada pada dua lagi penyanyi gandingan pun sangat hebat. Namun, ada juga perasaan bimbang ketika menyampaikan lagu Kekal milik Ziana sebab takut kecewakan dia dan peminatnya. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

Boleh kongsikan perkembangan terkini Ella?

Buat masa ini, saya tiada perancangan untuk menghasilkan lagu baharu sebab album Peace Love Rindu masih mendapat sambutan baik dalam pasaran. Belum cukup dua tahun pun tetapi album itu masih menerima sambutan baik daripada peminat. Tunggu reda dahulu barulah saya fikirkan untuk buat lagu lain.

Baru-baru ini, anda dilihat muncul dalam penghasilan semula klip video lagu Standing In The Eyes of The World. Boleh komen sedikit tentang projek berkenaan?

Bagi saya, lagu tersebut tidak pernah luput ditelan zaman, sebab itu masih dan akan kekal relevan sampai bila-bila pun. Muzik dan lirik lagu itu juga berada dalam generasi dahulu, sekarang dan akan datang. Senang kata, lagunya mudah diterima semua generasi. Projek berkenaan dijayakan bersama beberapa orang penyanyi cilik sempena sambutan hari lahir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali baru-baru ini. Saya berasa sangat bangga kerana dapat menghasilkan semula lagu itu untuk negara dan Perdana Menteri serta isteri.