Empat Termasuk Wanita Hamil Maut Akibat Renjatan Elektrik

SUNGAI BULOH – Empat termasuk pasangan suami isteri maut akibat terkena renjatan elektrik selepas struktur tangga yang dalam pembinaan di rumah sewa mereka runtuh dalam satu kejadian di Kampung Matang Pagar di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 12.50 tengah hari itu menyebabkan Shahril Apipie Mokhtar serta isteri, Wan Hasheliza Wan Ibrahim yang masing-masing berusia 29 tahun maut di lokasi kejadian.

Turut maut dalam kejadian itu, jiran mereka Mohd. Radezi Abdul Aziz, 35, dan Bambang Sulistio yang merupakan warga Indonesia.

Difahamkan, tiga lelaki itu cuba menyelamatkan Wan Hasheliza yang tersepit di bawah runtuhan struktur tangga terbabit.

Lebih memilukan, wanita yang sarat mengandung lapan bulan itu ditemui dalam keadaan berpelukan dengan suaminya di bawah runtuhan tersebut.

Keadaan tangga dalam pembinaan yang runtuh dalam kejadian tengah hari tadi.

Ketua Zon I Shah Alam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Razali Mohd. Nasir berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian pukul 1.07 petang pihaknya mendapati empat mangsa berada di lokasi runtuhan yang mempunyai arus elektrik.

Katanya, bomba meminta bantuan pihak Tenaga Nasional Berhad membuat pemotongan elektrik sebelum melakukan operasi menyelamat dan mengeluarkan semua mangsa dalam tempoh 45 minit.

“Hasil siasatan awal mendapati tangga separa siap kediaman dua tingkat itu runtuh menghempap seorang wanita yang ketika itu sedang makan durian.

“Suami serta jirannya cuba menyelamatkan mangsa selepas mendengar jeritan wanita itu, namun semua maut terkena renjatan elektrik susulan kabel elektrik berdekatan tangga terbabit putus akibat runtuhan itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian tadi.

Tambah Razali, kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat. – K! ONLINE