“Farid Kamil Telah Dipenjara 9 Bulan Gara-Gara Terlibat Dengan Dadah Tetapi Beliau Berdiam Diri”

PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil kini sedang menjalani hukuman penjara sejak Khamis lalu atas kesalahan menggunakan dadah jenis THC atau Tetra Hydrocannibol.

Ia berikutan, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari sama menolak rayuan Farid untuk mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan dikenakan terhadapnya atas kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurut beliau, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam keputusannya menolak rayuan Farid, 38, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei lalu.

Pada 15 Mei lalu, Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Farid selepas suami kepada pelakon Diana Danielle itu yang diperintahkan membela diri memilih untuk berdiam diri.

Selepas dijatuhkan hukuman, Farid terus dihantar ke penjara selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkannya.

Namun selepas 35 hari ditahan di Penjara Kajang, Farid dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sehingga rayuannya selesai.

Mahkamah ketika itu memerintahkan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai dan Farid perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali.
Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan THC yang juga dadah ditemui pada ganja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula pada 18 Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan   Pusat Jagaan Neraka, Warga Emas Diterajang, Air Kencing Dicurah Di Muka Seolah-Olah Penjaga Tidak Ada Ibubapa