Fasha Sandha Mohon Peminat Terus Doakannya Untuk Tetap Bertudung, Ini Berita Gembira Buat Peminatnya

KUALA LUMPUR – Pelakon Fasha Sandha menjelaskan dirinya masih dalam proses belajar memakai tudung biarpun imej yang digayakannya sepanjang Ramadan lalu menarik perhatian ramai peminat.

Kata Fasha, 35, dia sangat menghargai setiap doa daripada peminat yang suka dan berharap dia akan mengekalkan imej itu.

“Saya tidak nafikan ramai yang suka tengok saya bertudung. Peminat juga mengharapkan agar saya kekal dengan imej sebegitu. Alhamdulillah, peminat sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga.

“Saya sangat menghargai setiap doa baik-baik daripada peminat. Cuma saya sendiri buat masa sekarang sedang dalam proses belajar. Doakan yang baik-baik supaya semuanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White Sparkle Diamond Skincare dan Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack di Palace Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor sebentar tadi.

Tambah pelakon drama Lara Aishah itu, suaminya sendiri iaitu pelakon Aidil Aziz juga tidak pernah mendesaknya memakai tudung.

“Aidil tidak pernah mendesak. Dia tidak kisah kerana dia tahu mana yang terbaik untuk saya. Dia juga beri ruang untuk saya belajar perlahan-lahan,” ujarnya ringkas.

Bagaimanapun kata Fasha, dia enggan terlalu terbuka berbicara mengenai perkara itu kerana bimbang ia disalah erti sesetengah pihak.

“Iman kita ada turun naiknya. Jadi, lebih baik saya tetapkan hati terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Cuma harapan saya adalah peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk saya,” katanya. – K! ONLINE