Gara-Gara Bosan Sendirian, Remaja Seludup Masuk Rakan Dalam Beg Pakaian Kantoi Dengan Polis

MANGALORE: Seorang remaja ditangkap ketika cuba menyeludup rakannya di dalam beg pakaian ketika perintah berkurung dilaksanakan di India.

Lelaki berusia 17 tahun itu dilapor nekad melakukan tindakan itu kerana bosan berkurung sendirian di dalam rumah dalam kejadian di bandar Mangalore pada Ahad, lapor Times of India.

Tindakan itu terpaksa dilakukannya susulan larangan bawa masuk orang luar yang dikuatkuasakan di bangunan kediamannya bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

Remaja yang tidak dinamakan itu dilapor bergegas keluar menaiki skuter sekitar jam 2 pagi sebelum pulang tidak lama kemudian membawa sebuah beg.

Bagaimanapun, penduduk mulai curiga dan menghubungi pengawal keselamatan apabila melihat beg pakaian itu bergerak-gerak ketika dia cuba membawanya ke dalam bangunan.

Penduduk terkejut melihat rakan remaja di dalam beg itu setelah ia dibuka.

Remaja itu dan rakannya ditahan polis.

Mereka bagaimanapun dilepaskan dengan amaran kerana masih belajar.

India melaksanakan langkah kawalan pergerakan di seluruh negara sejak bulan lalu bagi mengawal penyebaran jangkitan koronavirus.

Kebanyakan persatuan perumahan dalam pada itu menguatkuasakan langkah tegas menghalang kemasukan orang asing ke premis mereka.

Karnataka mencatatkan 247 kes positif jangkitan koronavirus termasuk enam kematian.

kredit astro awani

Artikel Berkaitan   “Beli Satu, Percuma 1, Sekali Gigit Rasa Pelik” Pembeli Terkejut Makan Ulat Putih Dalam Coklat Terkenal