Gara-Gara Masuk Kerja Lambat, Lama Pendam Sabar, Lelaki Ini Menikam Rakannya

LELAKI parah ditikam rakan sekerjanya di tempat kerja mereka di syarikat penghantaran barang di Balik Pulau, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 20-an ditikam lelaki terbabit yang juga ‘team leader’ kumpulan kerja mereka yang seramai lima orang.

Mangsa dilapor ditikam di dada, dagu dan tangan kanan.

Menurut sumber, suspek dikatakan berang kerana ada antara pekerja kumpulan itu termasuk mangsa tidak menepati masa ketika menjalankan tugas.

“Sebelum ini, suspek dikatakan pernah beberapa kali menegur mangsa dan seorang lagi rakan sekerja dalam kumpulan WhatsApp supaya menepati masa.

“Malah, dia juga dikatakan memendam amarah itu kerana ada ketikanya dia terpaksa melakukan kerja sendirian ketika lori barang tiba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kata sumber itu lagi, suspek yang berusia 20-an dan sudah dua tahun bekerja di situ mungkin hilang sabar dengan mangsa dan bertindak menikamnya.

“Bagaimanapun, polis masih melakukan siasatan lanjut punca sebenar pergaduhan itu dan usaha memburu suspek sedang dilakukan,” katanya yang memberitahu mangsa tidak sedarkan diri, dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Balik Pulau.

Difahamkan, suspek juga menghubungi rakan sekerja lain dan mengugut akan menetaknya jika dia membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan   Abam Anggap Kes Hina Anaknya Selesai Dengan Pakcik Daripada Terengganu Ini