Gara-Gara Tak Bayar Bil, Hospital Tak Beri Jenazah Anak Penunggang Gojek, Hasilnya Ratusan Penunggang Gojek “Datang” Bantu Rakan Mereka

JAKARTA: Puluhan pemandu gojek menyerbu sebuah hospital di Indonesia bagi menuntut mayat bayi lelaki rakan mereka yang ditahan di hospital itu sebagai cagaran bil perubatan yang belum berbayar.

Daily Mail melaporkan, Alif Putr yang berusia enam bulan, meninggal dunia ketika pembedahan pada pagi Selasa lalu, tetapi mayat bayi itu ditahan Hospital M Djamil di Padang, Indonesia sehingga ibu bapanya membayar hutang hospital berjumlah 25 juta rupiah (RM7,396).

Sehingga Selasa petang, mayat bayi malang itu masih belum dilepaskan walaupun ibu bapanya merayu untuk mengebumikan anak mereka, sedangkan sebagai orang Islam ia perlu dilakukan secepat mungkin.

Rakaman diambil menggunakan telefon bimbit menunjukkan sekumpulan lelaki berpakaian seragam hijau dan bertopi keledar menyerbu kawasan hospital sebelum segera meninggalkan kawasan itu selepas mayat Alif berjaya dibawa keluar oleh seorang daripada mereka.

BBC memetik peserta konvoi, Wardiansyah berkata: “Kami bertindak selepas mengetahui keluarganya tidak dibenarkan mengambil anak mereka untuk dikebumikan kerana tunggakan bayaran berjumlah 25 juta rupiah.

“Pegawai keselamatan cuba menghalang tetapi disebabkan ramai, mereka mengalah.”

Ibu bayi malang itu, Dewi Surya berkata, keluarganya dalam proses mendaftar untuk menyertai program penjagaan kesihatan awam yang dilancarkan Presiden Joko Widodo (Jokowi), tetapi anaknya sakit sebelum mereka sempat menghabiskan proses itu.

Pihak Hospital M Djamil turut memohon maaf kerana menahan mayat bayi berkenaan yang dianggap akibat salah faham dan turut menjelaskan bil perubatan.

Artikel Berkaitan   Baca Ini, Mungkin Whatspps Anda Tidak Boleh Buka Lagi Gara-Gara Anda Pakai Handfone Ini