Gelabah Teman Wanita Lahirkan Anak, Lelaki Terima Akibat Buang Bayi Dalam Kumbahan

AYER KEROH: Padah menyembunyikan kelahiran bayi lelaki milik teman wanitanya dengan cara membuang bayi ke dalam loji kumbahan, seorang operator pengeluaran kilang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan didenda  RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh Muhammad Faiz Zakariyah, 25, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Shu Yee pada penghakimannya menegaskan isu pembuangan bayi merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab selain hukuman diberikan juga sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan membuang mayat bayi itu ke dalam lubang kumbahan.

Kesalahan itu dilakukan di belakang sebuah rumah di batu 4 1/2 Kampung Kandang, Melaka kira-kira jam 12.30 pagi, 7 Jun lalu.

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengaku menerima mayat bayi berbalut plastik dari teman wanitanya sebelum membuangnya ke dalam lubang kumbahan di belakang rumah sewa milik keluarganya di Kampung Kandang.

Siasatan pihak polis dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kemudian menemui dua cebisan daging dipercayai kaki bayi, dua cebisan tangan bayi dan beberapa cebisan kulit bayi.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon hukuman berat berbentuk pemenjaraan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Shu Yee pada penghakimannya kemudian menjatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,500 serta tambahan sebulan lagi penjara sekiranya gagal melunaskan jumlah denda.

Artikel Berkaitan   Lelaki Ini Jadi Target Jerat Tali Pancing Di Duke Gombak, Helmet Pun Boleh Koyak Kalau Kena. Memang Tak Berhati Perut.

Selasa lalu, Astro AWANI melaporkan, sepasang kekasih ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada wakil sebuah kilang di Batu Berendam, memaklumkan salah seorang pekerja mengaku telah melahirkan bayi di sebuah rumah sewa di Taman Perkota, Bukit Baru selepas mengambil sejenis ubat menggugurkan kandungan yang telah dibeli secara dalam talian.

Wanita tersebut juga mengakui telah menyerahkan mayat bayi lelaki berkenaan kepada teman lelakinya itu. Siasatan mendapati lelaki itu mengaku menerima bayi dalam keadaan berbalut plastik dan membuang mayat bayi malang itu ke dalam lubang kumbahan di belakang rumahnya di Kampung Kandang.

Kerja-kerja mencari di lubang kumbahan sedalam tujuh kaki itu kemudian menemui beberapa cebisan bahagian anggota badan mayat bayi malang berkenaan yang tersangkut di penapis hos air pasukan bomba.

kredit astro awani