Gempar! Pelajar Tahun Akhir Diploma Kejuruteraan Marin Dikhuatiri Lemas

Seorang pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Marin Kolej Ranaco, Terengganu dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir daripada sebuah kapal di perairan Selat Melaka kira-kira dua batu nautika dari Jeti Nelayan Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Afizudin Aidzuhan, 20, yang sedang mengikuti latihan industri sebagai Kadet Enjin sebuah syarikat operator pelabuhan disedari hilang oleh kru lain kira-kira pukul 1 petang sebelum kejadian dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Melaka & Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dimulakan sebaik sahaja laporan diterima kira-kira pukul 5 petang tadi meliputi pencarian seluas 25 batu nautika persegi.

“Mangsa kali terakhir dilihat sedang bertugas membuat pemantauan di kapal ‘MV Bunga Mas 6’ bersama seorang lagi kru kapal sekitar pukul 11.50 malam semalam.

“Difahamkan, dia yang telah enam bulan menjalankan latihan industri di kapal tunda ‘Tag Nur Tiga’ memaklumkan pada rakannya untuk pulang sebentar ke kapal tersebut bagi mengambil barang sebelum disedari hilang tengahari tadi,” katanya pada sidang akhbar di pusat SAR di Pantai Darat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelajar dari Petaling Jaya, Selangor itu sepatutnya menjalankan latihan industri selama lapan bulan di atas kapal tersebut.

Katanya, kerja-kerja menyelam bagaimanapun hanya dapat dijalankan esok ekoran keadaan ombak terlalu kuat dan cuaca gelap, namun operasi pencarian di permukaan laut diteruskan sehingga tengah malam ini dengan bantuan nelayan tempatan.

Tambahnya, seramai 11 anggota Maritim Malaysia, tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam, lima anggota polis dan 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk lapan pasukan penyelamat di air dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu terlibat dalam operasi pencarian. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   “Tapi Kali Ini Dia Jawab, Ini Yang 'Last', Tak Sangka Memang Itu Yang Terakhir Dia Menyelam, Dia Pulang Dalam Keadaan Yang Tidak Bernyawa;’