“Golongan Macam Kami Setiap Tahun Tak Raya, Kerja Hamper 14 Jam Sehari, Hargailah Jasa Sikit..”

MENDENGAR laungan takbir raya pada pagi 1 Syawal ternyata mengundang rasa hiba buat Mohd. Farhan Ismail, 33.


Di saat orang lain segak berpakaian baju Melayu dan beraya bersama-sama keluarga, tidak buat Mohd. Farhan apabila dia terpaksa menyarung pakaian kerja.

Mohd. Farhan bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Inilah situasi yang saya lalui apabila bertugas pada hari raya pertama.

“Sistem cuti raya di sini adalah secara bergilir. Jika tahun lalu saya sudah bercuti, maka tahun ini saya bekerja,” katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Mohd. Farhan yang sudah 11 tahun bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan berkata, selalunya apabila bertugas pada hari raya, mereka bertugas dalam dua sesi iaitu sama ada sesi pagi dan petang atau petang dan malam.

“Apabila cuti raya, ada staf yang pulang ke kampung. Jadi kami yang bekerja akan bekerja untuk dua sesi bagi menampung kekosongan itu.

“Selalunya untuk hari raya, kami bekerja dalam tempoh sehingga 14 jam,” katanya ketika ditemui K2 di HKL baru-baru ini.

Tambahnya, jika dia harus bekerja pada sesi pagi, kebiasaannya dia akan terlepas untuk turut serta menunaikan solat sunat Aidilfitri tetapi, jika bertugas di zon kurang sibuk, dia akan meminta pelepasan untuk menunaikan solat sunat di masjid berhampiran HKL.

Peruntukan

Dari segi makanan, katanya, pihak jabatan menyediakan peruntukan bagi membolehkan dia dan rakan lain menikmati juadah hari raya.

“Walaupun hidangan yang disediakan tidak sama seperti di rumah, namun itu cukup bermakna buat kami,” ujarnya yang merindui juadah hari raya yang disediakan ibu di kampung.

Mengimbau kembali kenangan pertama tidak dapat pulang beraya bersama keluarga, Mohd. Farhan mengakui perasaan itu sangat sedih dan pilu ketika mula bertugas pada tahun 2008.

Bagaimanapun, perasaan itu lama-lama sudah seperti biasa, cuma rasa rindu pasti menjengah di pagi raya sahaja.

“Kebiasaannya, jika kami bertugas pada pagi raya, kami akan mula cuti beraya pada hari raya ketiga atau keempat, iaitu selepas rakan-rakan yang bercuti pada hari raya pertama mula kembali bertugas,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Mohd. Farhan mengakui beruntung apabila memiliki seorang isteri yang memahami tugasnya.

“Nasib baik isteri saya bertugas sebagai jururawat di klinik kesihatan dan dia memahami tugas saya.

“Jika saya bertugas di pagi raya, biasanya saya akan menghantarnya untuk menyambut hari raya di kampung halamannya di Terengganu,” katanya lagi.

Ditanya pengalaman paling tidak boleh dilupakan ketika bertugas pada pagi raya, Mohd. Farhan mengakui terharu apabila diberi peluang bertugas sebagai pasukan perubatan di Istana Negara empat tahun lalu.

Memahami

“Saya terharu apabila terpilih menjadi sebahagian daripada pasukan perubatan yang bertugas dan gembira apabila menerima cenderamata sebaik tamat tugas pada hari itu,” katanya.

Di saat orang lain bergembira bersama keluarga, staf-staf di Jabatan Kecemasan HKL senantiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan pada hari perayaan tersebut.

Bagi seorang lagi Penolong Pegawai Perubatan di jabatan tersebut, Suri Saidatul Fahmi, 29, dia bertuah apabila keluarganya sudah memahami tanggungjawabnya yang terpaksa bekerja pada hari raya.

Jelasnya, perasaan sedih tetap ada cuma tidak sama pada tahun pertama bekerja di hari raya.

“Apa yang membuatkan saya sedih apabila pulang bekerja dan melihat rumah tiada orang kerana ahli keluarga lain pulang ke kampung.

“Tetapi itulah pengorbanan bekerja sebagai jururawat,” katanya.

Suri menjelaskan, untuk raya kali ini, dia terpaksa bertugas pada pagi 1 Syawal memandangkan tahun lalu dia sudah bercuti.

Walaupun terpaksa menyambut di tempat kerja, Suri menjelaskan, suasananya tetap meriah dan mereka yang bekerja akan memasak dan membawa juadah untuk dinikmati bersama-sama.

Selain itu, ada juga badan bukan kerajaan yang manyampaikan sumbangan Aidilfitri buat mereka yang bertugas pada hari itu.

Mengimbas memori lama, Suri mengakui pernah berlaku salah faham antaranya dengan suami sewaktu baru dikurniakan cahaya mata dahulu memandangkan dia terpaksa bertugas manakala suami mahu membawa anak yang baru berusia lima bulan pulang ke kampung bersamanya.

Sukarela

“Memandangkan suami saya bercuti, dia ingin membawa balik anak untuk beraya di kampungnya di Melaka. Pada waktu yang sama, anak saya baru berusia lima bulan dan dia masih menyusu badan.

“Bagaimanapun saya bersyukur apabila perselisihan faham itu dapat diselesaikan secara baik dan sehingga kini suami lebih memahami tuntutan tugas yang perlu dilalui oleh isterinya,” katanya ceria.

Sementara itu, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur, Dr. Hazney Ibrahim, 33, yang berasal dari Kuala Lumpur pula mempunyai alasan tersendiri apabila dia secara sukarela memilih untuk bekerja pada hari raya.

Kata Hazney, dia memilih berbuat demikian bagi memberi peluang kepada rakan yang lain pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.

“Saya tidak terasa sangat sebab memang berasal dari Kuala Lumpur dan keluarga pun ada di sini.

“Saya memilih untuk bekerja kerana selain dapat meraikan bersama keluarga, saya juga boleh meraikannya bersama rakan-rakan yang lain pada hari yang sama,” katanya.

Tambahnya, walaupun terpaksa bertugas pada hari raya, dia tetap boleh menyarung pakaian raya ketika bertugas.

“Jika ditugaskan di zon yang tidak terlalu sibuk, saya boleh menyarung baju raya,” ujarnya.

Sementara itu, Hazney menjelaskan, walaupun harus bertugas pada hari raya, Jabatan Kecemasan di HKL sentiasa menerima pelbagai kes.

“Jabatan Kecemasan ini sama seperti hari biasa cuma pada hari raya mungkin bilangan kes kecemasan sedikit berkurang.

“Pelbagai kes yang kami terima pada hari raya dan yang paling banyak adalah kes yang melibatkan kemalangan,” katanya mengakhiri perbualan.

Bertugas pada hari raya pertama menjadi perkara biasa bagi kebanyakan staf di Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur.