“Haa Kawan-Kawan Jangan Berurusan Dengan Syarikat Ini, Banyak Sangat Menciduknya” Wanita Puas Bertolak Ansur Nekad Buat Laporan Polis

HASRAT pasangan suami isteri, Nur Amirah Sharbuddin dan Muhammad Khairul Akmal Ghazi untuk memiliki video ketika hari ijab kabul mereka yang dilangsungkan Disember lalu masih tidak kesampaian selepas mendakwa menjadi mangsa janji palsu seorang juruvideo perkahwinan.

Kisah Nur Amirah, 28 mendapat perhatian warganet selepas dia meluahkan kekecewaannya berhubung kualiti video dihasilkan juruvideo perkahwinannya di Facebook (FB) miliknya, semalam.

Menerusi hantaran itu, Nur Amirah memuat naik bersama video berdurasi tiga minit 15 saat yang didakwa tidak memuaskan kerana rakaman bergegar dan mesej perbualannya dengan juruvideo terbabit di aplikasi WhatsApp.

Menceritakan perkara sebenar, Nur Amirah berkata, dia menggunakan khidmat juruvideo berkenaan untuk majlis akad nikah dan berinai ada 20 Disember lalu serta bersanding keesokannya yang diadakan di Taman Bertam Perdana, Melaka.

Menurut Nur Amirah, pakej video perkahwinan itu berharga RM2,200 dan bayaran dilangsaikan dua hari sebelum majlis berlangsung.

Katanya, video itu sepatutnya dihantar kepadanya pada awal Mac lalu namun masalah timbul apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Saya dan suami ada menghubungi beberapa juruvideo untuk mencari harga pakej bersesuaian dengan bajet kami.

“Selepas membuat perbandingan, kami sepakat memilih juruvideo berkenaan dan yakin selepas melihat hasil kerjanya iaitu video perkahwinan pelanggan terdahulu yang dikongsi menerusi pautan serta harga pakej ditawarkan.

“Bila tiba masanya iaitu tiga bulan selepas majlis, saya menuntut video berkenaan dan awalnya dia memberi alasan penghantaran tidak dapat dibuat kerana PKP jadi saya cuba bertolak ansur,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GAMBAR kenangan Nur Amirah dan suaminya, Muhammad Khairul Akmal Ghazi selepas selesai majlis pernikahan. FOTO Ihsan Nur Amirah

Bagaimanapun, Nur Amirah kesal dengan sikap juruvideo berkenaan yang berterusan memberi alasan tidak munasabah kepadanya apabila ditanya mengenai status penghantaran.

Menurut Nur Amirah, juruvideo itu bukan hanya berdolak-dalik tetapi turut menyekat nombor telefonnya kelmarin hingga tidak dapat dihubungi.

“Antara alasan tidak masuk akal diberikannya apabila saya meminta bukti penghantaran adalah kehilangan slip nombor jejak pesan.

“Saya pernah menghubunginya menerusi WhatsApp tetapi jawapan diterima menghampakan. Selain itu, saya turut meninggalkan komen di FB tetapi dipadam dan akhirnya nombor telefon saya disekat.

“Malah, pautan video yang dimuat naik itu diperoleh di saluran Youtube juruvideo berkenaan hasil carian sendiri,” katanya.

Selepas sekian lama bersabar, Nur Amirah membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, kelmarin.

Katanya, tindakan itu adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil selepas puas bertolak ansur dengan juruvideo berkenaan.

“Apa yang saya kesalkan adalah keengganannya untuk memohon maaf dan mengakui kesilapan dibuat.

“Disebabkan itu, saya buat laporan polis dan berkongsi kisah itu di FB untuk kesedaran orang lain supaya berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada kisah saya,” katanya.

Harian Metro cuba menghubungi juruvideo berkenaan untuk mendapatkan kenyataan namun tiada jawapan malah mesej dihantar menerusi WhatsApp juga tidak dibalas.

kredit harian metro