“Hadaplah Hang” Rakam Video Sindir Larangan Berkumpul Sambil Menikmati Kari Kambing, Akhirnya Lelaki Ini Berjaya Diberkas Polis

LELAKI yang merakam video kenduri kepala kambing dan mempertikai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan polis di Langgar, Alor Setar, petang tadi.

Difahamkan, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah selepas menerima maklumat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin yang dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau kemudian memaklumkan sidang media akan dibuat pada 10 malam ini untuk maklumat lanjut.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan polis memohon orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan video tular seorang lelaki mempertikai PKP.

Berdasarkan siasatan awal, pihak polis percaya video itu dirakam di satu kawasan sekitar Langgar di Alor Setar.

Video berdurasi 57 saat menunjukkan lelaki itu sedang merakam suasana di sebuah rumah yang didatangi orang ramai sambil menikmati hidangan berasaskan kambing termasuk kepalanya.

Sambil melemparkan kata-kata kesat, lelaki itu mempersoalkan isu kuarantin di rumah seperti yang disarankan kerajaan sejak perintah itu berkuat kuasa mulai Rabu lalu hingga 31 Mac ini.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Berjuta-Juta Pengguna Whatapps Bakal Hilang Gara-Gara Tidak Mengikuti Ciri-Ciri Terbaharu