Hadiah Paling Sedih Dalam Hidup, Bapa Hilang Anak Sehari Sebelum Sambut Hari Jadi

Anak adalah anugerah yang paling tak ternilai yang dikurniakan Maha Pencipta kepada pasangan suami isteri. Bukan itu sahaja, anak juga merupakan pelengkap dalam keluarga.

Namun begitu, siapa sangka anak yang dipinjamkan oleh Illahi kepada kita untuk dididik dan dibentuk menjadi insan berguna pergi ketika masih lagi ingin dimanja.

Menerusi perkongsian yang sebak daripada Norazlin Alin, dia telah kehilangan seorang anak perempuan berusia empat tahun secara tiba-tiba disebabkan demam dan sawan.

Dipendekkan cerita, pada 30 Oktober, Norazlin telah membawa anaknya ke klinik untum mendapatkan rawatan kerana demamnya belum kebah walaupun suhu badan tidak berapa tinggi. Namun seusai pulang, anaknya tiba-tiba terkena sawan dan menyebabkan dia membawanya ke hospital.

Selepas menerima rawatan, Alyaa telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan keadaannya bertambah kritikal.

Lebih mendukacitakan, Qaseh Alyaa telah menghadap Illahi pada hari lahir bapanya iaitu 31 Oktober yang lepas. Siapa sangka, anak yang pada asalnya hanya demam biasa boleh pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.

Sehubungan dengan itu, menerusi luahan hiba Norazlin terhadap pemergian anak sulungnya itu telah mendapat perhatian daripada warganet. Rata-rata mereka turut berasa sedih serta sebak dengan apa yang berlaku.

Mereka juga sempat menzahirkan ucapan takziah buat mereka sekeluarga dan menitipkan doa agar kanak-kanak comel itu menjadi penyebab ibu bapanya ke syurga nanti.

Sumber : Norazlin Alin