Hampir Menjadi Mangsa Rogol Datuk Tiri, Wanita Ini Berjaya Lepaskan Diri Dengan Membuat “Gigitan”

KUCHING: Seorang remaja perempuan berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa nafsu serakah datuk tirinya selepas menggigit suspek ketika cuba dirogol.

Kejadian dilaporkan berlaku di rumah suspek di Taman Matang Jaya di sini sekitar jam 3 petang Rabu, ketika pelajar tingkatan dua itu sedang bermain telefon bimbit di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata susulan laporan yang dibuat mangsa semalam, suspek berusia 58 tahun yang merupakan sub-kontraktor pembinaan jalan sudah pun ditangkap pada Khamis.

Katanya, suspek melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menolak mangsa sehingga terbaring dan terus menarik baju ke paras dada serta meraba bahagian sulit mangsa.

“Suspek telah mencekup mulut mangsa dengan tangan kiri dan terus menindihnya di atas katil.

“Mangsa meronta-ronta lalu menggigit lengan kiri suspek menyebabkan dia bangun lalu beredar keluar rumah tanpa berkata apa-apa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Aidil berkata selepas kejadian, mangsa terus menghubungi ibunya yang sedang bekerja bagi menceritakan mengenai kejadian dan ibunya kemudian membawanya ke Balai Polis Gita untuk membuat laporan.

Menurutnya, mangsa merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik, manakala suspek merupakan datuk tirinya dan mempunyai dua orang isteri.

Katanya semasa kejadian, hanya mangsa dan adiknya yang berumur 10 tahun berada di rumah manakala neneknya tidak berada di situ.