Hans Isaac Pulangkan Gaji Selama 13 Bulan Sebagai Pengerusi FINAS

Hangat diperkatakan tentang perlantikan pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia minggu lalu, terbaru, bekas pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac memulangkan semua gaji dan elaun diterima sepanjang 13 bulan memegang jawatan .

Hans berkata, dia tidak pernah mahukan apa-apa ketika memegang jawatan tersebut. Malah, wang gajinya itu akan disalurkan kepada semua penggiat seni belakang tabir yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

“Jadi, sekarang apabila sudah tidak berada dalam agensi itu, saya akan pulangkan semua kepada industri dengan membantu golongan pekerja belakang tabir seperti jurukamera, ‘runner’, jurusolek dan sesiapa saja yang terbabit.

“Saya tahu ramai daripada mereka yang terjejas apabila penggambaran perlu diberhentikan. Jadi, kalau ada yang memerlukan boleh datang berjumpa saya dan saya juga akan cuba mencari mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penamatan kontraknya, Hans mengakui dia sudah menjangkakan perkara itu dan tidak terasa hati. Bagaimanapun dia sudah melakukan yang terbaik sepanjang 13 bulan menerajui agensi itu.

“Seperkara saya nak cakap, inilah masalah yang berlaku di Finas. Kalau tukar kerajaan, pimpinan dalam agensi ini pun ditukar. Sampai bila pun masalah tak selesai dan pembaharuan sukar dicapai.

“Malah, ia kena mula dari awal semula. Sekurang-kurangnya habiskan kontrak jawatan itu dulu,” katanya.

Hans yang dilantik menjadi Pengerusi Finas pada 8 April tahun lalu ditamatkan kontrak daripada jawatan itu pada 23 Mei lalu. Tempat Hans digantikan dengan Zakaria Abd Hamid yang juga aktivis masyarakat.

 

Sumber : Rotikaya