Hanya Kerana Menutup Tv, Anak Sanggup Mahu Menikam Ibu Bapanya Sendiri

LELAKI yang juga penagih dadah mengugut mahu menikam ibu bapanya hanya kerana pasangan warga emas berusia 70 tahun berkenaan menutup televisyen yang sedang ditonton anak kandung mereka itu.

Dalam kejadian 6.30 petang di kediaman keluarga berkenaan di Kepala Batas semalam, lelaki berusia 43 tahun mengugut mahu membunuh ibu dan bapanya selain akan membakar rumah kerana berang dengan tindakan mereka itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek pada mulanya mengamuk dengan merosakkan barangan dalam rumah sebelum bertindak mengugut kedua orang tuanya dengan mengacu pisau serta mahu membakar rumah mereka.

Menurutnya, mangsa yang berada dalam ketakutan kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

“Kejadian berlaku di bilik tidur mangsa dan ketika polis hadir di lokasi kejadian terdapat sebuah televisyen dan kipas angin yang sudah dirosakkan suspek di ruang tamu.

“Suspek merupakan anak kandung mangsa dan bertindak sedemikian ketika bapa dan ibunya berada di dalam bilik tidur,” katanya.

Menurutnya, suspek didakwa sering mengamuk serta panas baran.

“Punca kejadian adalah kerana bapa suspek menutup rancangan di televisyen sebelum dia berang dan memarahi bapanya.

“Mangsa kemudian masuk ke dalam bilik sebelum suspek yang berang mengugut menikam bapanya,” katanya.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan dan ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel Berkaitan   “Takpelah Rezeki Takat Tu Je..Sy Xmarah Pun” Kek Kahwin 19 Kaki Berderai “Live” Relaks Je Datuk Alha Jawab