Hanya Kerana Nasi Lemak, 24 Orang Termasuk Penjual Nasi Lemak Ditahan Polis

Seramai 24 orang telah ditahan di Mukim 3, Sungai Pinang, Pulau Pinang kerana didapati berkumpul untuk membeli nasi lemak bungkus di sebuah rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt. AA Anbalagan, selain 24 individu terbabit, turut ditahan adalah peniaga nasi lemak tersebut kerana menjalankan perniagaan pada tempoh waktu yang tidak dibenarkan.

“Ketika rondaan dijalankan, kita mendapati ada sekumpulan orang awam sedang berkumpul di belakang sebuah rumah di bahagian dapur. Apabila didekati, mereka didapati sedang membeli nasi lemak bungkus yang dijual oleh seorang lelaki berusia 23 tahun.

“Mereka enggan bersurai walaupun diminta pihak berkuasa. Susulan daripada itu, mereka ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menjalankan perniagaan di luar tempoh sehingga menyebabkan pelanggan berkumpul,” katanya yang melakukan rondaan bersama sepasukan anggota polis dan juga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops COVID-19 pada jam 2 pagi.

Kesemua mereka disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan dan Seksyen 7 (1)Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

kredit era